Sabtu, 31 Mei 2014

#1 Saya Dan Bisnes

Teks: Norafiza Abdul Aziz

Assalamualaikum wbt.

Saya dan bisnes. Boleh dikatakan sesuatu yang agak mustahil untuk dikaitkan bersama. Mungkin dari luaran teman-teman sekeliling melihat saya seorang yang ceria dan banyak cakap. Tetapi itu hanya berlaku apabila saya bersama dengan mereka yang rapat sahaja. Hakikatnya saya seorang yang pemalu dan sukar untuk memulakan bicara. Bagaikan mempunyai dua personaliti yang berbeza.

Namun, apabila mengimbau kenangan masa kecil dulu, saya dan bisnes bukanlah satu perkara asing. Apabila diingat kembali, nenek saya ( yang dipanggil mek) pernah berniaga kedai runcit secara kecil-kecilan. Saya terlupa hakikat ini kerana sebaik saja melangkah ke sekolah menengah, arwah che' ( panggilan untuk datuk saya, ayah kepada Abah saya) jatuh sakit dan kedai ini terpaksa ditutup. Dah hampir 20 tahun. Memang patutlah saya tak ingat, he he..

Abah pernah bercerita kepada saya Mek mula berniaga masa Abah masih lagi dibangku sekolah. Jadi kalau nak dihitung, sudah agak lama Mek membuka kedainya. Kedai runcit Mek agak laku kerana walaupun kedai Mek kecil,tapi hampir semua barang Mek jual termasuklah bunga api dan mercun semasa musim perayaan. Tapi, Mek tak jual mercun yang bahaya.

Semasa saya di sekolah rendah, hampir setiap minggu kami balik ke rumah mek. Abah mempunyai sembilan adik-beradik. Kadang-kadang  sehingga dua tiga buah keluarga akan balik serentak. Meriahlah rumah Mek dengan suara anak cucu. Cucu Mek memang ramai. Riuh rendah dibuatnya.

Kedai Mek ni , pelanggan tak boleh masuk ke dalam sebab ruang sangat kecil. Mereka hanya beritahu apa yang mahu dibeli dan 'penjaga kedai' akan ambilkan untuk mereka. Setiap kali balik ke sana,  saya sering bertugas sebagai 'penjaga kedai'.Sambil tunggu pelanggan, sambil makan. Habis segala keropok, gula-gula, asam masin dan ais krim yang sepatutnya dijual, saya makan. Haha. Alamatnya sebelum balik abah terpaksa membayar ganti rugi pada Mek. Membebel orang tua tu barang jualannya habis dimakan cucu. Memang kelakar bila ingat balik peristiwa itu.

Kini, kedai itu hanya tinggal kenangan. Mek sekarang pun tidak sihat, tidak mampu berjalan akibat terkena serangan strok beberapa tahun lepas. Namun saya harap kenangan dan pengalaman itu akan jadi pemangkin untuk saya memulakan bisnes saya sendiri.

Dan segalanya bermula di sini..
Akan bersambung dalam entri Ulasan Kelas Asas Blog dan Fanpage..

Selit sikit, Selamat Menyambut Hari Lahir untuk Adindaku Mohd. Azwan Abdul Aziz. Semoga sukses dalam meniti kehidupan yang mendatang. You know I'm always here for you.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan