Ahad, 13 Julai 2014

Kesempurnaan Puasa Ramadhan

Teks: Norafiza Abdul Aziz

Assalamualaikum wbt.

Pada 9 Julai 2014 bersamaan 11 Ramadhan 1435H, saya telah menghadiri satu sesi ceramah anjuran jabatan tempat saya bertugas. Bersesuaian dengan bulan Ramadhan ini, tajuk ceramah yang disampaikan adalah mengenai Kesempurnaan Puasa Ramadhan yang disampaikan oleh Tuan Haji Muhamad bin Deraman, Penolong Pengarah Pencegahan dan Siasatan MAIDAM, Terengganu.

Kata orang ' sharing is caring'. Jadi disini, saya ingin kongsikan serba sedikit ilmu yang saya dapat melalui sesi ceramah berkenaan. Semoga bermanfaat untuk kita semua.

Ada beberapa tingkatan puasa yang boleh kita ukur:
  1. Puasa awam - iaitu hanya menahan diri dari makan dan minum serta perkara yang membatalkan puasa. 
  2. Puasa khusus - iaitu bukan hanya menahan diri dari makan dan minum dan perkara yang membatalkan puasa malah turut berpuasa pancaindera dan seluruh badan dari segala bentuk dosa.
  3. Puasa khususul khusus - Selain daripada puasa seluruh pancaindera dan seluruh anggota badan tetapi turut berpuasa 'hati' yakni tidak memikirkan soal keduniaan
Yang mana satu tingkatan puasa kita? Tepuk dada, tanya iman.

Bagaimana ingin mendapat kesempurnaan puasa? Ada beberapa perkara yang boleh kita amalkan sepanjang kita berpuasa;
  1. Makan sahur - kita disunatkan supaya bersahur dan waktu yang afdal untuk bersahur ialah sejam sebelum waktu imsak. Nabi Muhammad SAW menyarankan supaya melewatkan sahur dan hukumnya adalah sunat.
  2.  Segera berbuka - kita disarankan supaya segera berbuka puasa sebaik sahaja azan Maghrib berkumandang dan disunatkan berbuka dengan kurma atau manisan.
  3. Rezeki yang halal - makan dan pakailah daripada sumber rezeki yang halal.
  4. Mandi hadas dengan segera - kita dituntut untuk menyegerakan mandi hadas iaitu sebelum terbit fajar.
  5. Qiamulail - Antara amalan-amalan yang boleh kita lakukan untuk qimulail ialah solat sunat tarawih, solat sunat witir, berzikir, selawat dan membaca Al-Quran.
  6. Menjaga lidah - kita seharusnya menjaga setiap percakapan kita seperti tidak berdusta, mengadu domba, mengumpat, menyebarkan fitnah, berbual kosong dan sebagaikan untuk mengelakkan berkurang pahala puasa kita.
  7. Menjaga syahwat - elakkan dari perkara-perkara yang mendorong kita melakukan perkara maksiat.
  8. Mengawal emosi - kita perlu bijak dalam mengawal emosi kita agar tidak mudah marah, tidak melakukan sesuatu yang boleh menyebabkan kurang pahala puasa kita.
  9. Buat kebajikan - perbanyakkanlah sedekah dan melakukan amal jariah di bulan penuh keberkatan ini.
  10. Banyak berdoa - antara doa-doa yang mustajab adalah doa ibu bapa, doa pemerintah yang adil, doa orang yang dizalimi dan doa orang yang berpuasa.
  11. Bertakwa kepada Allah - semoga semua amalan yang dilakukan pada bulan Ramadhan dapat diteruskan pada bulan-bulan berikutnya.
Pada bulan Ramadhan juga ada malam yang paling mulia, malam yang lebih baik dari seribu bulan iaitu Malam Lailatul Qadar. Oleh itu, marilah kita sama-sama mencari malam yang penuh keberkatan ini pada 10 malam terakhir Ramadhan. Ya Allah, temukanlah kami dengan malam yang penuh barakah dariMu, malam Lailatul Qadar. Amin.

#sedikit perkongsian daripada saya. rasa macam selfish pula kalau tak share dengan orang lain.
#sedang dalam rangka menyusun strategi baru. doakan saya agar bertemu jawapannya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan