Isnin, 24 November 2014

Energi dan keajaiban Surah Al-Fatihah

Assalamualaikum wbt.

Ulasan Buku: Energi dan Keajaiban Surah Al-Fatihah
Penulis: Haji Rahman bin Haji Mohd Adil
Terbitan: Pustaka Azhar


Terjemahan:
* Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. (1)
* Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. (2)
* Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. (3)
* Yang menguasai pemerintahan Hari Pembalasan (Hari Akhirat). (4)
* Engkaulah sahaja (Ya Allah) yang kami sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon       pertolongan. (5)
* Tunjukilah kami jalan yang lurus. (6)
* Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat. (7)

Buku ini boleh dikatakan menerangkan secara terperinci mengenai Umul Kitab,  Surah Al-Fatihah. Antara kandunagn yang terdapat didalam buku ini termasuklah sejarah surah Al-Fatihah, fadilat dan keutamaan Surah A-Fatihah, nama-nama lain bagi surah Al-Fatihah, kandungan dan mesej yang terdapat dalam Surah Al-Fatihah, tafsir surah yang diterangkan secara terperinci serta energi dan keajaiban daripada Surah Al-Fatihah.

Pada pendapat saya, penulis buku ini telah melakukan kajian yang terperinci tentang surah yang kita baca  sebanyak 17 kali dalam solat kita. Kerana inilah surah ini juga dikenali dengan nama "As Sab'ul Matsani" yang bermaksud tujuh ayat yang berulang-ulang.

Sedikit sejarah mengenai surah Al-Fatihah.

Al-Fatihah bermaksud "Pembukaan" atau "Permulaan". Dinamakan Al-Fatihah kerana Al-Quranul Karim dimulai dengan surah ini. Surah ini merupakan surah pertama yang diturunkan dengan lengkap dan mengandungi kesimpulan keseluruhan isi Al-Quran.

Surah Al-Fatihah diturunkan dikala umat manusia memerlukan hidayah. Ayat-ayat yang terkandung dalam surah ini boleh dijadikan sebagai pegangan hidup dan dapat memberi ketenteraman jiwa manusia dalam menghadapi dunia yang penuh pancaroba ini.

Kandungan surah Al-Fatihah ini dapat disimpulkan terdiri daripada aspek-aspek keimanan, ibadah, Hari Kiamat, hukum-hukum dan peraturan-peraturan, janji dan ancaman dan kisah-kisah ataupun cerita-cerita. 

Antara fadilat membaca surah Al-Fatihah

  1. Boleh menguatkan memori ingatan
  2. Boleh dijadikan sebagai ubat seperti mengubati segala racun dan sengatan binatang
  3. Untuk mengusir dan menakluk syaitan
  4. Membersihkan diri daripada sifat-sifat haiwani
  5. Dapat melahirkan sifat-sifat mahmudah yang cemerlang dan unggul
Banyak lagi kelebihan, kehebatan dan fadilat yang boleh kita perolehi daripada surah Al-Fatihah ini. Oleh itu marilah sama-sama kita berusaha untuk meningkatkan kefahaman kita tentang Ummul Kitab ini.

Dari hadis Bukhari dan Muslim daripada 'Ubadat bin as-Samit, Rasulullah SAW bersabda,


"Tiada solat kepada mereka yang tidak membaca surah Al-Fatihah"









Tiada ulasan:

Catat Ulasan