Isnin, 8 Disember 2014

Mukjizat Dhuha

Teks: Norafiza Abdul Aziz

Assalamualikum wbt.

Melalui beberapa bahan bacaan, blog-blog inspirasi, perkongsian sahabat-sahabat di fb serta nasihat daripada Mama, saya mula menunaikan solat sunat Dhuha. Solat Dhuha ni selalu dikenali ada kaitan dengan rezeki. Kalau nak dimurahkan rezeki, buatlah solat sunat Dhuha, begitulah yang selalu diperkatakan. Pada mulanya, agak konsisten juga saya lakukan solat Dhuha ni. Kemudian, bila bisikan-bisikan halus menjelma, saya menjadi agak lemah dalam mengawal diri, jadinya jarang-jarang sekali saya tunaikan solat Dhuha. Ada masa buat, tak ada masa (kononnya) maka tak terbuatlah. 

Sehinggalah saya terinpirasi kembali setelah saya membaca sebuah kompilasi cerpen islamik tulisan Hilal Asyraf. Melalui cerita-cerita dalam buku itu, saya merenung kembali dalam diri saya yang sentiasa terumbang-ambing ni. Apa yang kurang? Kenapa usaha saya tidak mendatangkan hasil? Betulkah jalan yang saya pilih? Asyik mempertikai tentang keadaan yang berlaku kadangkala akan membawa kepada sikap putus asa. Mujur Allah masih sayang. Jawapan yang saya nak, Allah jawab dengan cara yang unik. 

Kenapa Allah tak beri apa yang kita nak? Memang banyak sebabnya. Tapi yang paling utama sekali adalah, bagaimana hubungan kita dengan Allah sendiri? Adakah kita menjaga hubungan dengan-Nya? Atau kita terlalu alpa dengan dunia sehingga lupa siapa yang lebih berkuasa? Perlahan-lahan saya menginsafi diri. Saya perlu membaiki hubungan dengan Allah. Lalu, saya memasang nekad untuk mula mendekatiNya dengan lebih dekat. Salah satunya adalah dengan solat sunat Dhuha. Dan tanpa saya sangka-sangka setelah hanya beberapa hari saya melakukan solat Dhuha secara konsisten, saya mula merasai mukjizatnya. Saya kongsi beberapa peristiwa yang saya alami baru-baru ini.

Peristiwa 1
Anak sulung saya, Iman, mengidap Epilepsy. Di samping mendapat rawatan di hospital, saya dan keluarga turut membawa Iman untuk mendapat rawatan alternatif. Salah satunya adalah melalui perubatan Islam. Baru-baru ini, ibu saudara saya ada mencadangkan supaya saya membawa Iman ke Pusat Rawatan Islam Al-Ruqyah. Menurut ibu saudara saya, bekas anak muridnya yang menjadi perawat di situ. Dekat je dengan rumah saya, lebih kurang lima minit saja menaiki kereta. Menurut pengalaman lepas, kalau ke pusat rawatan Islam, mesti ramai orang dan terpaksa menunggu lama. Tapi bila memikirkan Iman, saya kuatkan semangat untuk ke sana. 
Pada hari kejadian, sebelum bertolak, seperti biasa, saya tunaikan solat Dhuha terlebih dahulu. Usai solat, saya berdoa semoga Allah memberi saya kesabaran dan semoga urusan hari itu dipermudahkan. Apabila sampai di pusat rawatan tersebut, perawat berkenaan baru sahaja selesai merawat pesakit dan pusat rawatan itu lengang, tiada langsung pesakit lain. Syukur Alhamdulillah, kami tak perlu menunggu lama dan urusan rawatan selesai setengah jam kemudian.
Walaubagaimanapun, kami harus ke sana sekali lagi untuk rawatan susulan.  Kebetulan terkena hari saya habis kerja shif malam. Saya berjanji dengan Mama untuk ke pusat rawatan sebaik sahaja saya sampai di rumah pagi itu. Sebelum bertolak balik ke rumah, saya sempat menunaikan solat Dhuha. Dan doa saya juga seperti biasa, semoga Allah mempermudahkan semua urusan. Namun, sebaik sampai di rumah, saya rasa penat dan mengantuk. Saya beritahu Mama, saya ingin berehat dahulu dan membawa Iman ke pusat rawatan pada sebelah petang. Selepas Zohor, kami pun bertolak ke pusat rawatan. Dan peristiwa yang sama berlaku seperti semasa kami ke sana pada pertama kali. Perawat berkenaan baru sahaja selesai merawat pesakit dan selepas itu terus giliran kami. Kami meminta maaf kepada perawat itu kerana datang agak lewat, namun jawapan beliau amat mengejutkan saya. Menurut beliau, sekiranya kami datang pada sebelah pagi, kami mungkin terpaksa menunggu lama kerana ramai orang yang datang untuk mendapatkan rawatan pada pagi itu. Sekali lagi saya mengucapkan syukur kepada Allah di atas pertolongan-Nya.

Peristiwa 2
Hari itu, saya bekerja sebelah pagi. Selalunya bila bekerja sebelah pagi, saya agak sibuk tambah lagi kalau hari itu adalah hari bekerja. Kebetulan hari itu ada tugas iringkawal ke klinik. Saya dan rakan-rakan memang sangat tidak suka bila ada iringkawal ke klinik. Sebabnya macam biasalah, bila ke klinik kerajaan, orang ramai dan terpaksa menunggu lama. Kebetulan pula hari itu adalah giliran saya untuk tugas iringkawal. Hati yang mula tidak keruan, saya cuba tenangkan. Saya lihat jam, saya fikir, sempat ni kalau nak solat Dhuha. Cepat-cepat saya ke bilik rehat dan tunaikan solat Dhuha. Selesai solat, saya berdoa moga Allah bagi saya kesabaran, (untuk rekod, saya memang seorang yang kurang kesabaran, hehe). Selepas itu, saya terus ke tempat saya bertugas. Sampai saja di pintu masuk, tiba-tiba 'partner' saya cakap, " Tak pe lah, Kak Fiza. Saya rasa nak jalan-jalan hari ni. Biar saya je yang IK (singkatan untuk iringkawal) hari ni." Saya terdiam seketika sebelum menjawab OK sambil tersenyum lebar. Dalam hati terdetik, agaknya berkat aku solat Dhuha tadi kot. Syukur Alhamdulillah.

Peristiwa 3
Semalam, saya bekerja sebelah malam. Macam biasa, habis kerja, sebelum bertolak balik ke rumah, saya akan solat Dhuha terlebih dahulu. Semasa sedang bersiap untuk balik, perut saya berbunyi. Alamak, lapar lah pulak. Singgah 7-e lah, cari kopi dan roti, saya membuat keputusan. Terus saja saya memandu ke 7-eleven untuk membeli kopi dan roti. Semasa sedang menunggu adik 'cashier' mengira jumlah harga, saya nampak dia kelam-kabut mencari sesuatu di kupon yang ada di sebelah kaunter. Saya tidak bertanya apa-apa, hanya memerhati. Akhirnya, dia sendiri yang menerangkan pada saya, kupon yang ada tu adalah kupon yang orang tak nak ambil. Kebetulan ada lebih, jadi dia guna untuk pelanggan lain yang datang membeli di situ. Tak semena-mena, saya dapat separuh harga untuk kopi yang saya beli tu. Alhamdulillah, rezeki saya. Masuk ke dalam kereta, saya terfikir, inilah agaknya yang dikatakan solat Dhuha adalah solat yang menarik rezeki. Dan Allah dah tunjukkan pada saya Mukjizat Dhuha itu. Syukur Alhamdulillah, terima kasih Allah.

** Tiada niat langsung untuk saya bermegah atau ingin menunjuk-nunjuk yang saya ni rajin buat solat sunat. Saya cuma ingin berkongsi cerita. Semoga kita semua memperoleh sesuatu daripada ceruta-cerita saya di atas. Kalau ada sebarang teguran, saya alu-alukan dengan tangan terbuka. Tapi, janganlah sampai mengguris hati ye. Wallahu'alam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan