Jumaat, 19 September 2014

Aktiviti Bersama Abah

Teks: Norafiza Abdul Aziz

Assalamualaikum wbt.

Salam hari Jumaat. Alhamdulillah, semua urusan kenduri sudah selesai. Tinggal lagi nak mengemas barang-barang dan rumah. Saya pun dah kembali bertugas setelah seminggu lebih bercuti. 

Hari ni dah Jumaat. Esok lusa sesi persekolahan akan bermula. Adik-adik yang mengambil peperiksaan besar tahun ni mesti dah mula debaran di dada. Sedih juga dengar berita tentang soalan UPSR yang bocor baru-baru ni. Saya tak tahu apa-apa, tak nak buat spekulasi. Nanti jadi fitnah pulak. Harapnya kes ni akan selesai secepat mungkin. Bagi mereka yang terlibat, termasuk anak sepupu saya, janganlah bersedih. Pasti ada hikmah di setiap apa yang berlaku.

Bila sebut tentang cuti sekolah, saya tiba-tiba teringat masa lalu. Hehe. Dah tua ni, asyik teringat je lah kerjanya. Saya teringat tentang aktiviti yang pernah saya dan adik-beradik buat bila berada di rumah. Aktiviti kami tak tunggu cuti sekolah pun sebenarnya. Happens all the time actually. 

Apa yang kami buat? Kami banyak luangkan masa sama-sama sebenarnya. Jadi, banyak permainan yang kami main bersama. Yang lebih istimewa lagi, abah mesti ada sekali.

Semasa saya di sekolah rendah, kami tinggal di Lundang, Kota Bharu. Kampung dalam bandar. Hehe. Masa tu hidup kami cuma sederhana. Saya tak suka keluar rumah. Jadi, kawan baik saya ialah tv. Suatu hari, tv rosak. Bosannya Allah saja yang tahu. Tak tahu nak buat apa, terutama pada waktu malam. Kebetulan masa tu permainan batu seremban tengah hangat di pasaran ,hehe. Saya pun tidak ketinggalan bermain batu seremban ni. Tapi, di Kelantan, permainan batu seremban lebih dikenali dengan nama selambut. Untuk menghilangkan kebosanan ekoran tv rosak, saya mengajak Kak Long saya main selambut. Dengan tidak semena-mena abah dan mama turut serta bermain dengan kami. Mula-mula saya dan Kak Long main sekali, tapi kami tak boleh lawan kehebatan abah dan mama. Bila juara bertemu juara, kami hanya menjadi tukang sorak jelah.

Nenek saya, Mek, suka bermain congkak. Duduk sendirian dirumah, Mek mengajak kawannya bermain congkak. Papan congkak Mek sangat kreatif. Mek membuat papan congkak daripada bekas Axion yang disambung menggunakan tali. Sangat menarik. Buahnya pula daripada "biji gorek". Saya sendiri tak pasti apa nama sebenarnya. Bijinya berbentuk bulat bujur, berwarna kelabu dan saiznya lebih kecil daripada guli.. Biji tu sekarang dah pupus agaknya sebab saya tak pernah nampak kat tempat lain. Mungkin berasal dari pokok hutan kat belakang rumah Mek. Semasa bercuti beberapa hari dirumah Mek, beliau mengajar saya bermain congkak. Siap ajar 'tricks'nya sekali. Ketika ingin pulang semula ke rumah, saya meminjam papan congkak Axion Mek. Dengan semangat berkobar-kobar dan perasaan tidak sabar ingin menunjuk pada Along yang saya dah pandai main congkak dan saya tak sabar nak mengalahkan Along. Untuk pengetahuan anda, saya sentiasa kalah dengan Along. I'm always number two. Belum sempat saya nak mencabar Along, Abah dah terlebih dahulu mencabar saya. Saya dengan riaknya menerima cabaran Abah. Main punya main, rupanya Abah memang dah tahu "tricks" yang diajar Mek kepada saya. Apalagi, kalahlah saya Tak pasal-pasal pula Along tahu tentang "tricks" tu. Dan saya kalah lagi. Sedih.

Sewaktu di sekolah menengah, Along belajar bermain catur dengan kawan-kawannya. Akibat ketagihan melampau kepada permainan catur, Along meminta Abah belikan satu set catur untuknya. Agak lama juga baru Abah penuhi permintaan Along. Saya tertanya-tanya dalam hati, Along ni nak main catur dengan siapa. Dalam keluarga tak ada orang lain yang pandai main catur. Selepas balik dari membeli-belah di pasaraya (barang yang dibeli termasuklah set catur Along), Abah terus menyuruh Along menyusun buah catur diatas papan. Dalam kehairanan Along pun mula menyusun biji-biji catur mengikut susunannya. Tanpa membuang masa Abah terus membuat serangan. Rupa-rupanya, Abah pandai bermain catur. Terpinga-pinga Along seketika apabila Abah mengalahkannya dalam sekelip mata. Sejak hari itu, kami adik-beradik belajar bermain catur. Hampir setahun kami ambil masa untuk mengalahkan Abah. Itupun, empat kepala bersatu menentang Abah seorang.

Satu lagi permainan yang saya selalu main adalah permainan daun terup. Dan sifu kami adik-beradik tak lain tak bukan adalah Abah. Melalui Abah, kami belajar bermain daun terup dan bagaimana untuk memastikan kemenangan kepada kami. Hampir setiap malam kami bermain daun terup dengan sekali-sekala disertai Abah. Permainan ni lebih digemari oleh adik-adik saya. Maklumlah, budak lelaki.

Abah juga merupakan 'tok guru' saya dalam permainan karom dan badminton. Sejarah bermulanya saya dalam permainan karom ni apabila Abah menyertai kejohanan karom anjuran pejabatnya. Untuk berlatih menajamkam lagi "skill" dalam permainan karom ni, Abah membawa pulang papan karom ke rumah. Masa tu, adik-adik lelaki saya masih kecil. Jadi, saya adalah calon yang paling sesuai untuk membantu Abah dalam latihan karomnya. Maka, bermulalah sesi latihan karom saya bersama Abah dan saya bolehlah dikatakan 'anak murid' Abah yang berjaya kerana berjaya menguasai permainan itu dalam masa yang singkat,hehe. 

Akhir sekali, permainan yang paling digemari oleh kami sekeluarga (tidak termasuk Mama) ialah Saidina. Bermula dengan meminjam papan Saidina daripada jiran, kami mula ketagih bermain. Dari pagi, membawa ke petang sampai malam (kalau hari minggu atau cuti sekolah) kami asyik dengan permainan ini. Suatu hari, Abah menyertai kami untuk bermain. Dan akhirnya, Abah menang dengan semua tanah menjadi miliknya dan kami berhutang dengannya. Abah turut ketagih bermain Saidina bersama kami. Kadang-kadang kami bermain sampai pukul dua pagi! Dan sudah semestinya pemenangnya adalah Abah. Beberapa bulan kemudian, kami sudahpun membeli set Saidina kami sendiri hasil tabungan Along dan adik-adik.

Itulah antara kenangan antara saya adik-beradik bersama Abah tersayang. Kini, masing-masing dah besar, sudah ada kehidupan sendiri. Abah pun dah nak pencen. Sekarang duk melayan cucunya yang berdua tu lah. Apapun, Abah tetap HERO saya sampai bila-bila. Sayang Abah!

#abahsayasifusaya

.................................................................................................................................................     
* nak belajar tulis blog dengan aliran trafik yang tinggi dalam masa singkat? 
* pm saya di inbox atau email saya dan saya akan jawab pertanyaan anda.
* sharing is caring


2 ulasan:

  1. kreatifnya lubang congkak dengan bekas axion tu. kalau ada gambar lagi best.

    BalasPadam
  2. congkak axion tu dah hilang kak. tak tahu ada kat mana dah.

    BalasPadam