Rabu, 14 Mei 2014

Salam perkenalan

Teks: Norafiza Abdul Aziz

Bismillahhirrahmanirrahim.

Assalamualaikum wbt.

Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan,
Saya budak baru belajar,
Kalau salah tolong tunjukkan.

Ewah, berpantun pulak. Tapi rasanya pantun ni memang sangat sesuai dengan diri saya pada saat dan ketika ini. Saya memang ibarat 'budak' yang baru nak belajar bertatih dalam dunia blog ni. Harap dapat diberi tunjuk ajar agar perjalanan dan pembelajaran saya berada di landasan yang betul.

Nama penuh saya Norafiza binti Mud Hanapi @ Abdul Aziz. Keluarga memanggil saya dengan nama Nora tetapi saya lebih dikenali dengan nama Fiza dikalangan rakan-rakan. Nama sebenar abah saya ialah Abdul Aziz dan dipanggil En.Aziz oleh keluarga dan kenalan rapat. Kenapa abah saya mempunyai dua nama biarlah menjadi rahsia keluarga kami. Dari itu terciptalah nama blog saya Fiza Aziz.

Saya anak kedua dari lima adik-beradik. Mempunyai seorang kakak dan tiga orang adik lelaki. Jadi saya ni tuan puteri bongsu dalam keluarga. Manja dan keras hati, inilah karakter saya.

Saya dilahirkan di Kg Labok,Machang, (kampung mama), Mengenal ABC di Bachok, tetapi membesar di bandar Kota Bharu, Negeri Cik Siti Wan Kembang.

Saya berkahwin pada hujung tahun 2008 dengan rakan setugas saya, En.Ayie. Cinta lokasi kot, hehe. 14 Oktober 2009 lahirlah putera pertama diberi nama Muhammad Nur Iman Syahmi dan tanggal 6 September 2011 putera kedua, Muhammad Nur Ilham menjenguk dunia. Buat masa sekarang saya dan En.Ayie tinggal berjauhan disebabkan tuntutan kerja masing-masing. Dugaan dan ujian buat kami. Apapun perlu tabah hadapinya. Hidup mesti gembira.

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Kemudi Bachok, Kelantan (masa tu abah bertugas di Pejabat Tanah dan Jajahan Bachok) tapi sekejap saja, cuma setengah tahun. Abah ditukarkan ke Pejabat Tanah dan Jajahan Kota Bharu jadi saya meneruskan persekolahan di Sekolah Rendah Kebangsaan Zainab 11 dan seterusnya di Sekolah Menengah Zainab 1. Tengok nama pun mesti dah boleh agak sekolah ini untuk pelajar perempuan sahaja (girl school).

Habis SPM, saya ditawarkan melanjutkan pelajaran di Kolej Matrikulasi Sains Kolej Chermai, Bandar Baru Serting, Negeri Sembilan. Habis matriks, terus sambung di UiTM Arau, Perlis mengambil jurusan Kejuruteraan Awam. Tetapi sayangnya takdir Allah, pengajian saya terhenti separuh jalan atas sebab peribadi.

Mendung yang menyelubungi hidup saya akhirnya berlalu apabila permohonan saya untuk jawatan Pegawai Imigresen  di Jabatan Imigresen Malaysia diterima. Kerjaya baru saya sebagai Pegawai Imigresen bermula dengan kursus induksi selama tiga bulan di Akademi Imigresen Malaysia, Port Dickson, Negeri Sembilan. Penempatan pertama saya di Limbang, Sarawak sempadan dengan negara Brunei Darussalam. Dari sini bermulalah cabaran sebenar dalam hidup puteri bongsu En.Aziz ni. Tidak terlalu lama berada di Sarawak, saya akhirnya berjaya balik bertugas di negeri kelahiran saya dan kali ini di sempadan Thailand pula. Kini, selepas lima tahun menabur bakti di sempadan, saya bertugas di Depot Tahanan Ajil, Hulu Terengganu. Kali ini tugas saya menjaga Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang ditangkap untuk urusan penghantaran pulang ke negara masing-masing. Belajar mengenal dunia, mengenal orang, bertemu jodoh, pengalaman pahit manis bekerja ditempat orang semuanya saya lalui selepas menjawat jawatan ini yang akan menginjak ke angka sepuluh tahun depan.

Saya dan Kak Long saya berkongsi minat yang sama. Kami 'hantu' buku. Pendek kata dimana ada buku, disitu ada kami. Begitulah taksubnya kami dengan buku. Bermula dengan buku-buku penyiasatan remaja semasa disekolah rendah, mengenal novel-novel cinta disekolah menengah (normal la kan?) dan setelah meningkat dewasa mula berjinak dengan bacaan yang lebih berat seperti buku motivasi, keagamaan, bahan ilmiah dan mula membaca buku tentang bisnes. Semakin banyak buku yang di baca semakin banyak yang nak tahu. Sangat dahagakan ilmu terutama ilmu akhirat.

Saya sebenarnya masih lagi mencari-cari bidang yang boleh saya ceburi sebagai persediaan masa depan. Teringin nak mempelajari dan mendalami bidang pastri juga bidang jahitan. Sekurang-kurangnya buat kek sendiri untuk meraikan insan-insan tersayang dihari istimewa mereka dan menjahit baju kurung untuk diri sendiri. Boleh juga ambil upah jahit baju kurung untuk kak long, hehe. Kekangan masa boleh lagi nak hadapi tapi kekangan dari diri sendiri yang susah. Selalu sangat cepat mengalah. Sangat perlu motivasi untuk ubah diri sendiri, macam tajuk blog saya, From Zero to Hero. Menjadi salah satu sebab saya menyertai akademi ini.

Sebab utama saya menyertai akademi ini adalah kerana ingin menjaga putera sulung saya yang kami panggil Iman atau Abe Long diserang epilepsy atau lebih dikenali sebagai sawan pada umur setahun setengah. Saya akan ceritakan lebih lanjut tentang Iman pada entri lain ye.

Disamping itu, dunia yang semakin mencabar ni memerlukan kita untuk lebih bijak mencari ruang dan peluang supaya tidak ketinggalan. Saya ingin melepaskan diri dari rasa terbelenggu bekerja makan gaji dan inginkan ruang yang lebih fleksibel untuk diri dan keluarga. Serta impian yang sekian lama terpendam, saya ingin menyambung kembali pengajian saya yang tergendala dulu dan kalau boleh sampai ke peringkat yang tertinggi.

Takdir Allah yang menemukan saya dengan Akademi Bekerja Dari Rumah ini seolah-olah mimpi jadi kenyataan. Dan diharap segala ilmu yang saya dapat diakademi ini boleh saya manfaatkan bukan sahaja kepada diri saya tetapi juga kepada mereka yang masih lagi mencari-cari arah diluar sana.

Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada pengasas Akademi Bekerja Dari Rumah Pn.Masayu Ahmad dan guru online saya yang sangat berdedikasi, Pn. Anys Idayu Zakaria. Semoga Allah memberkati usaha kalian (dan juga saya) serta dapat memberi sedikit sumbangan kepada pembentukan umat Islam yang lebih berjaya di dunia dan lebih lagi di akhirat. InshaaAllah.

Salam perkenalan dari saya,
Fiza Aziz



Tiada ulasan:

Catat Ulasan