Teks: Norafiza Abdul Aziz
Assalamualaikum wbt.
Setuju tak dengan ungkapan di atas? Saya sangat setuju. Kerana saya sendiri melalui situasi tersebut.
Setiap orang inginkan kejayaan. Hampir semua orang mempunyai matlamat masing-masing. Namun, bagaimana caranya untuk mencapai matlamat yang telah kita tetapkan? Agak-agak berapa ramai orang yang telah mencapai matlamat mereka dan berapa ramai pula yang telah tersasar dari tujuan utama mereka?
Sudah lumrah hidup kita akan sentiasa mempunyai cabaran. Dalam usaha kita untuk mencapai cita-cita dan matlamat, banyak dugaan dan godaan yang harus kita tempuhi. 'Monday blues' la, 'Tuesday blues' la, malah ada yang dari Monday sampai la ke Sunday asyik layan 'blues' je memanjang. Itu belum lagi nak di kira godaan nafsu sendiri, gangguan dari sekeliling dan termasuklah bisikan dari iblis yang sentiasa menghasut kita serta melumpuhkan semangat kita untuk berusaha mencapai matlamat yang telah kita tetapkan.
Di sinilah 'keterpaksaan' itu harus diterapkan dalam diri. Kadangkala (dalam kes saya, setiap hari) kita perlu untuk memaksa diri kita untuk melaksanakan satu-satu kerja, bukan separuh jalan, tapi sehingga selesai.
Sebagai contoh, kita telah tetapkan satu matlamat untuk membaca Al-Quran dua muka surat beserta dengan terjemahan setiap hari. Waktu yang paling sesuai untuk membaca Al-Quran adalah selepas solat. Pernahkah anda mengalami situasi di mana sebelum solat, anda sudahpun memasang niat untuk membaca Al-Quran. Namun, di tengah-tengah solat, tiba-tiba terasa macam letih, mengantuk dan malas. Usai solat, anda berdoa dan semasa sedang berdoa anda terpandang katil di sebelah. Dan tiba-tiba katil itu nampak begitu indah bersinar-sinar, nyaman dan selesa di mata anda. Hati mula berbelah bagi, mata mula berair, mulut juga tak berhenti menguap. Katil di sebelah kiri, meja di mana terletaknya Kitab Suci di sebelah kanan. Agak-agak arah mana yang akan anda pilih? Selalunya yang terjadi dari Subuh tangguh ke Zohor hingga Asar seterusnya Maghrib membawa ke Isyak akhirnya matlamat jadi angan-angan saja.
Jadi, 'terpaksa' itu sangat perlu dalam diri kita. Kita harus memaksa diri untuk melawan setiap godaan nafsu dan bisikan halus syaitan supaya matlamat yang telah kita tetapkan dapat dicapai. Hulurkan tangan kanan anda, capailah 'Ayat-ayat Cinta' Allah itu, bacalah. Gagahkan diri walau mata semakin kabur, walau mulut yang menguap kalau nak diukur sudah seluas padang bola, walau suara semakin serak. Paksa diri sendiri, disiplinkan diri, istiqamah. InshaaAllah, lambat laun anda akan berjaya
Oleh itu, apabila anda sudah tetapkan sesuatu matlamat, setkan minda, paksa diri, disiplinkan diri, sentiasa istiqamah, amalkan setiap hari. Sehingga otak anda secara otomatik akan diset untuk melakukannya sehingga matlamat anda tercapai.
Akan tetapi, jangan pula berhenti apabila matlamat sudah dicapai kerana setiap satu matlamat yang berjaya kita capai adalah satu permulaan kepada matlamat yang baru.
Fake it until you make it.
betul sangat.
BalasPadamtapi tajuknya mengingatkan saya satu kisah dalam kumpulan cerita "Dari Tanjung Malim ke KLCC".
hehe
Saya pun baca buku Fdaus Ahmad..sekarang sedang baca buku no 3, Proletar Dua Menara. Tapi saya mula-mula jumpa tajuk ni dalam buku tulisan Hlovate, tajuknya 'Anthem' terbitan Jemari Seni
BalasPadam