Assalamualaikum wbt.
Kreet! Kedengaran bunyi pintu terbuka.
"Eh, Mira. Kau dengar tak bunyi tu? Macam ada orang buka pintu," tanya Hana kepada rakan sebiliknya.
"Yelah, aku pun dengar. Siapa yang buka pintu? Mana ada orang lain dalam rumah ni. Kita berdua je," jawab Mira kehairanan.
Mereka saling berpandangan. Muka masing-masing sudahpun bertukar warna dari merah ke putih. Tanpa sedar, mereka sudahpun berada dalam pelukan masing-masing.
Dengan suara yang menggeletar dan nada yang ketakutan, Hana berkata,"Mira, malam ni, malam Jumaat."
"Hah?!" Dan muka Mira yang sudah putih terus bertukar menjadi kuning akibat ketakutan yang amat sangat.
Senario di atas sangat biasa dalam kehidupan harian kita. Tidak kira bangsa atau agama, cerita-cerita begini walaupun menaikkan bulu roma, degupan jantung semakin laju namun akan sentiasa ada pencerita dan pendengarnya.
Saya seorang yang agak penakut. Mendengar cerita-cerita seram akan membuatkan saya tak senang duduk malah kadangkala boleh menyebabkan saya tidak mampu bergerak untuk beberapa saat. Ketika sedang menulis ni, boleh nampak bulu roma saya tegak berdiri, hehe. Memang saja nak menakutkan diri sendiri.
Dalam tiga tahun kebelakangan ini, saya telah mengalami transformasi cara berfikir. Daripada selalu berfikiran sempit (narrow minded), saya mula berfikir di luar kotak. Saya mula mendalami ilmu-ilmu akhirat walau secara berdikit-dikit. Mula menyerap tenaga positif ke dalam diri. Bukanlah bertujuan untuk berasa riak atau nak berlagak. Ilmu, memang tak akan habis untuk dipelajari.
Suatu hari, saya tiba-tiba terfikir tentang cerita seram dan solat tahajud. Apa persamaan antara keduanya? Ya, kedua-duanya ada kaitan dengan waktu malam atau lebih tepat lagi waktu melepasi tengah malam.
Sebagaimana yang kita tahu, solat sunat tahajud dilakukan pada dua pertiga malam (seafdalnya). banyak kelebihan melakukan solat tahajud ni. Antaranya :
- mendapat pengawasan Allah SWT dan menampakkan kesan ketaatan di wajahnya
- dikasihi oleh para ahli ibadah dan orang mukmin
- percakapannya menjadi hikmah dan bijaksana
- dimudahkan hisab keatasnya
- mendapat catatan amal dari tangan kanan
- doanya akan dikabulkan oleh Allah SWT
- (sumber: Solat fardhu dan Himpunan Solat Sunat, Pustaka Ilmuan, m/s 238)
Malah saya ada terbaca satu artikel yang menyatakan bahawa molekul air pada waktu itu adalah sangat baik untuk badan kita. Hal ini kerana ramainya malaikat yang turun untuk mengaminkan doa orang-orang yang bertahajud. Wallahua'lam. (Betulkan saya kalau saya salah).
Namun, apa yang terjadi kepada masyarakat kita adalah sebaliknya. Kita banyak dimomokkan dengan cerita-cerita hantu malah cerita-cerita demikian diturunkan dari satu generasi ke satu generasi. Pelbagai cerita dari pelbagai sumber sering diperdengarkan kepada kita. Bagi mereka yang penakut (macam saya), setelah mendengar cerita sedemikian, amat payah untuk melangkah ke bilik air dan mengambil wuduk untuk menunaikan solat sunat malam. Langkah menjadi kaku. Perasaan takut dan seram mengatasi segala-galanya. Selalunya memang tidak terbangun walaupun malam itu kita sukar melelapkan mata. Akhirnya peluang yang ada disia-siakan begitu sahaja. Alangkah ruginya.
Oleh itu, sudah sampai masanya untuk kita menyedari yang mana lebih memberi manfaat untuk kita. Sebarkanlah yang baik-baik kepada generasi muda yang bakal menjadi pemimpin di masa akan datang. Hapuskanlah segala sikap dan fikiran lapuk yang boleh merosakkan bangsa lebih-lebih lagi kepada orang-orang Islam.
Marilah kita sama-sama tegakkan syiar Islam di mata dunia sekaligus mengekang anasir-anasir jahat dari merosakkan iman dan akidah kita sebagai seorang Muslim.
"Hendaklah kamu melaksanakan qiamullail. Sesungguhnya qiamullail itu alat mendekatkan diri kepada Allah, pencegah dari dosa, penghapus bagi kejahatan dan penolak penyakit dari jasad"
- riwayat At-Tirmidzi
#just sharing my thought
#saya sendiri masih berusaha ke arah itu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan