Khamis, 20 November 2014

Hilal Asyraf

Teks: Norafiza Abdul Aziz

Assalamualaikum wbt.

Suatu hari di kedai buku. Saya meneliti satu persatu barisan buku-buku di rak yang tersusun di situ. Terteleng-teleng kepala membaca setiap tajuk buku-buku berkenaan. Banyaknya pilihan. Hati sudah tidak keruan. Buku ni menarik, buku tu macam 'best'. Di sana menanti, di sini menunggu. Dah macam tajuk lagu je bunyinya. Sedang berada dalam dilema, mata tiba-tiba terpandang satu buku terbitan Galeri Ilmu yang bertajuk Sinergi tulisan Hilal Asyraf. Tangan terus menarik buku itu keluar dari rak dan mata terus membaca sinopsis buku di bahagian belakang. Novel Islamik rupanya. Ingatkan buku motivasi. Hati berkata sendiri. Kerana selalunya karya terbitan Galeri Ilmu lebih kepada buku yang berkaitan dengan motivasi dan agama. Sedang menimbang-nimbang adakah patut saya membeli buku itu, saya terbaca biodata penulis buku berkenaan. Lulusan Universiti Yarmouk, Jordan. Terus saya teringat anak kakak angkat saya yang juga menuntut di universiti yang sama. Dan tanpa membuang masa saya terus ke kaunter untuk membuat bayaran.

Menerusi Sinergi, saya mengenali Hilal Asyraf. Tulisan beliau menerusi Sinergi amat mengagumkan saya. Daripada Sinergi saya terus mencari buku-buku lain tulisan beliau. Setakat ini saya sudahpun memiliki (saya dan kak long sebenarnya, hehe) beberapa buah buku beliau antaranya Hero, Takdir, Takdir 2, (sedang menunggu buku terakhir trilogi Takdir), Simfoni Cinta (kumpulan cerpen), Kerana Kita Pendosa dan Hidup Penuh Erti (kolaborasi bersama Aiman Azlan, seorang vlogger). Beliau juga merupakan pengasas kepada http://langitilahi.com/. Saya masih belum berpeluang untuk meneroka laman ini. InshaaAllah, saya akan peruntukan sedikit masa untuk itu.

Daripada tulisan-tulisan beliau, telah membuka mata hati saya ke satu fasa yang lebih luas. Terus-terang, saya kagum dengan misi dan visi insan yang bernama Hilal Asyraf ini. Meskipun masih muda (beza 7 tahun dengan saya!) beliau berjaya membuka mata dan minda saya untuk melihat Islam dari kaca mata berbeza.

Tema cerita beliau tidak lari dari persahabatan, cinta juga pengabadian diri yang sepenuhnya kepada Yang Maha Kuasa. Nampak macam tiada apa yang luar biasa, namun setelah kita mula menelusuri satu persatu patah perkataan dan juga jalan cerita di dalam buku itu, kita akan rasa bersemangat dan kadangkala mengusik jiwa. Kisah persahabatan yang diutarakan oleh beliau amat luar biasa saya rasakan. Saya tidak tahu bahawa persahabatan yang membawa kepada cinta dan pengorbanan boleh wujud. Ehem..cinta yang saya maksudkan bukanlah cinta antara kekasih hati, tetapi cinta kepada sahabat sehingga sanggup berbuat apa saja untuk sahabat.  

Sahabat yang terbaik, bukan yang berkata, "sabarlah, sabar." 
Tetapi yang berkata, "Apa masalahmu? Mari aku bantu."
~ Hilal Asyraf, Simfoni Cinta ~

Saya berharap semoga saya mampu untuk menjadi seorang sahabat yang mampu untuk berkata begitu kepada sahabat-sahabat saya. Dan semoga Allah menghadirkan seorang sahabat yang akan sentiasa ada untuk saya. 

Sedikit info tentang Hilal Asyraf:
Nama sebenar beliau Muhammad Hilal Asyraf. Berkelulusan B.A. (hons) dalam bidang Usuluddin, Universiti of Yarmouk, Jordan. Merupakan penulis lebih daripada 20 buah buku 'bestseller' bergenre novel Islamik, buku motivasi dan kumpulan cerpen tarbawi.
(sumber: Cerita Dari Hati, Hidup Penuh Erti; PTS Millennia Sdn. Bhd)






Tiada ulasan:

Catat Ulasan