Memaparkan catatan dengan label banjir. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label banjir. Papar semua catatan

Isnin, 5 Januari 2015

Pasca Banjir Pantai Timur


Teks: Norafiza Abdul Aziz

Assalamualaikum wbt..

Salam Maulidur Rasul. Diharapkan semoga sambutan Hari Maulud ini akan menambahkan lagi kecintaan kita kepada Rasulullah SAW. Andainya baginda masih ada bersama kita saat ini, pasti amat bahagia sekali kan? Semoga kita semua berpeluang untuk bertemu baginda kelak. Sama-sama kita selawat banyak-banyak agar mendapat peluang bertemu baginda seterusnya mendapat syafaat baginda di Padang Mahsyar kelak. Amin.

Sana-sini orang masih lagi memperkatakan tentang banjir yang melanda baru-baru ini. Kalau sewaktu banjir berlaku, kita sentiasa kerisauan memikirkan nasib mereka yang terputus hubungan, kini setelah banjir surut, sedih, pilu dan simpati menggantikan kerisauan dihati. Kerugian yang di alami memang tidak terhitung. Harta benda hampir musnah semuanya. Tidak dapat dibayangkan kalau ia menimpa ke atas diri dan keluarga.

Semasa mendapat berita yang air semakin naik di Kota Bharu, Tanah Merah dan Pasir Mas, terbayang satu-persatu wajah sahabat-handai dan saudara mara yang tinggal di daerah berkenaan. Sebak rasa dihati memikirkan nasib mereka. Bagaimana agaknya mereka? Selamat atau tidak? Hati terus dilanda gusar apabila seorang sahabat post di fb mengatakan air semakin naik di rumahnya. Terus teringat yang dia masih dalam pantang. Suami keluar daerah atas tuntutan kerja, ibu ayah juga sudah uzur. Hanya doa dan kata-kata semangat yang mampu diberi pada saat itu. Moga semuanya selamat.

Alhamdulillah, setelah seminggu bertarung dengan pelbagai rasa, pelbagai kesukaran dengan ujian yang tidak terduga, akhirnya banjir surut jua. Namun, jiwa rakyat jelata sekali lagi tersentap melihat keadaan selepas banjir. Subhanallah, Maha Suci Allah. Kebanyakan mangsa hanya tinggal sehelai sepinggang. Pulang kerumah, rumah sudah tiada rupa. Lumpur setinggi lutut melatari suasana. Harta benda semua musnah. Ya Karim. Ujian ini terasa sungguh berat. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. 

Namun, apa yang terkesan dihati saya, tentang ujian dan hidayah. Banjir yang luar biasa ini sudah cukup memilukan tapi apa yang berlaku selepas banjir lebih menyedihkan. Benarlah, sesungguhnya, hati tu Allah yang pegang. Hidayah juga datang daripadaNya. 

Saya gembira, bersyukur dan terharu apabila bantuan dari segenap pelosok negara datang bertali arus memberi bantuan. Sangat, sangat, sangat banyak bantuan yang tiba. Sampaikan apabila terserempak dengan mana-mana konvoi misi bantuan banjir di jalanan, mata terasa panas, dada terasa sesak. Dalam hati mengucap syukur tidak terhingga kepada yang Maha Kuasa kerana menghadirkan insan-insan baik hati dari seluruh negara malah negara jiran, Thailand turut menghulur bantuan. Jazakumullahu khairan katira. Semoga Allah merahmati kalian semua.

Semoga peringatan daripada Allah ini tidak kita sia-siakan. Semoga iman kita semua akan bertambah selepas ujian ini. Allah bagi ujian sebab Allah sayang. Rebutlah peluang yang masih ada untuk memohon keampunan dari Yang Maha Kuasa, azamkan dalam diri untuk lebih mendekatiNya dan mencintaiNya dan rebutlah peluang untuk melayakkan diri ke syurgaNya.

Terima kasih Allah atas peringatan ini. Kau ampunilah semua dosa-dosa hambaMu yang telah banyak melakukan kerosakan dan kezaliman di atas muka bumi Mu ini. Kau limpahilah rahmatMu kepada insan-insan baik hati yang datang membantu mangsa-mangsa banjir di Kelantan dan negeri-negeri lain. Sesungguhnya, hanya Kaulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Berkuasa.Amin Ya Rabbal Alamin.

Rabu, 24 Disember 2014

Pray For Pantai Timur

Teks: Norafiza Abdul Aziz
Foto: Credit to Facebook Pray For Pantai Timur

Assalamualaikum wbt.

Pasti semua dah tahu kan, pasal banjir besar yang melanda negara kita terutama negeri-negeri di Pantai Timur. 

Walaupun rumah saya setakat ini Alhamdulillah tiada sebarang ancaman banjir, namun sebagai salah seorang rakyat negeri Kelantan turut berasa berdukacita. Kebimbangan turut menguasai diri.

Oleh itu, saya mohon sahabat-sahabat sekalian mendoakan agar musibah ini cepat berlalu dan kami semua diberi kekuatan dan ketabahan untuk mengharungi ujian ini.

Dan saya juga mungkin akan berhenti seketika daripada aktiviti ber'blogging' sehingga keadaan agak reda.

Terima kasih.









Khamis, 18 Disember 2014

Cerita Sakit Gigi Dan Banjir Gelombang Kedua

Teks: Norafiza Abdul Aziz

Assalamualaikum wbt.

Cerita 1: Sakit Gigi

Saya dan sakit gigi memang tidak dapat dipisahkan. Dari kecil lagi dah menderita sakit gigi. Nak pergi klinik, takut dan fobia. Kenapa fobia? Ha, ni yang nak cerita ni.

Masa sekolah rendah dulu, sekolah saya ada klinik gigi sendiri. Setiap bulan akan ada pemeriksaan gigi setiap murid. Oleh kerana gigi saya memang rosak dari kecil, saya menjadi agak takut untuk berjumpa dengan jururawat. Setiap kali nampak kad hijau (kad pemeriksaan gigi) hati saya akan berdebar. Takutnya tak usah ceritalah. Sampai tak boleh nak tumpu pada cikgu yang mengajar. Kenapa jadi macam tu? Kenapa saya takut sangat? Sebab jururawat garang dan suka membebel. Betul, tak tipu. Dan ianya memberi kesan psikologi kapada saya sampai sekarang. 

Jadi sekarang, bila saya sakit gigi, saya lebih rela cari ubat kat farmasi daripada berjumpa doktor gigi dan jururawatnya. Dahlah kita ni sakit, ditambah pula dengan layanan yang tak mesra alam. 

Oleh itu, kalau ada jururawat atau doktor gigi yang baca tulisan saya ni, saya harap sangat, layanlah pesakit dengan mesra. Pesakit nak jumpa doktor sebab nak minta diselesaikan masalah penyakit yang dideritai, bukan minta ditambah penyakit yang ada.

Maaf, saya agak kasar. Namun itu hakikat yang saya sendiri tempuhi.

*En.Ayie selalu pujuk saya untuk dapatkan rawatan gigi, namun saya masih fobia. Mungkin tahun depan kot baru berani. Azam tahun baru ni. Terima kasih En.Ayie sayang.

Cerita 2: Banjir Lagi

Banjir gelombang kedua dah mula melanda negeri di Pantai Timur. Banjir kali ni agak besar juga. Air naik dengan cepat. Setiap jam tengok berita, penduduk yang berpindah semakin meningkat. Hujan tak berhenti sejak lima hari yang lalu. Saya sendiri hampir terperangkap ditempat kerja. Alhamdulillah, dengan pertolongan Allah, saya sempat pulang ke rumah.

Tapi, sekarang saya ambil cuti bencana. Banyak jalan yang ditutup kepada kenderaan ringan. Dan laluan saya dari rumah ke tempat kerja memang naik air.

Banjir kali ni mengingatkan saya dengan kejadian banjir tahun 2007. Masa tu saya bertugas di Rantau Panjang. Sebut Rantau Panjang memang tak hairanlah kalau jadi mangsa banjir. Tapi tahun tu memang banjir besar sangat. Saya terperangkap di tempat kerja bersama dua lagi rakan setugas. Dah nak menangis masa tu. Bekalan makanan pun terputus. Hanya kenderaan berat yang boleh lalu. Akhirnya kami diselamatkan oleh trak askar yang dikhususkan untuk membawa penduduk yang terperangkap ke tempat yang lebih selamat. Pertama kali naik trak. Trak askar pula tu. Pengalaman tu dah jadi kenangan manis dalam hidup saya.

Namun, ada yang membuatkan saya kagum dengan penduduk Rantau Panjang. Sepertimana yang kita maklum, penduduk Rantau Panjang adalah peniaga. Walaupun banjir, idea mereka tidak putus dalam mencari rezeki. Banjir di sana dah macam pesta air. Penuh dengan orang yang bermain air banjir serta penuh dengan peniaga yang menjual beraneka makanan seperti kacang, sosej, kuih-muih dan sebagainya. Malah, yang lebih mengagumkan saya, ada perkhidmatan 'lori tambang'. RM2 satu kepala. hehe. Jangan tak percaya. Orang Rantau Panjang memang unik kalau bab meniaga. Mereka boleh meniaga apa sahaja.

Walaupun begitu, saya harap musim-musim banjir ni semua yang terlibat sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga. Anak-anak kecil perlulah sentiasa dipantau. Kita tidak mahu kejadian tidak diingini berlaku. Kesihatan juga perlu dijaga. Musim banjir ni, banyak penyakit. Jadi kepada semua yang terlibat harap semoga tabah menghadapi semua musibah. Akan ada hikmah di sebalik semua kejadian. InshaaAllah.



Bandar Pasir Puteh

Masjid Beijing, Rantau Panjang

Foto: https://www.facebook.com/pages/INFO-BANJIR-KELANTAN/181842055241153