Teks: Norafiza Abdul Aziz
Assalamualaikum wbt..
Salam Maulidur Rasul. Diharapkan semoga sambutan Hari Maulud ini akan menambahkan lagi kecintaan kita kepada Rasulullah SAW. Andainya baginda masih ada bersama kita saat ini, pasti amat bahagia sekali kan? Semoga kita semua berpeluang untuk bertemu baginda kelak. Sama-sama kita selawat banyak-banyak agar mendapat peluang bertemu baginda seterusnya mendapat syafaat baginda di Padang Mahsyar kelak. Amin.
Sana-sini orang masih lagi memperkatakan tentang banjir yang melanda baru-baru ini. Kalau sewaktu banjir berlaku, kita sentiasa kerisauan memikirkan nasib mereka yang terputus hubungan, kini setelah banjir surut, sedih, pilu dan simpati menggantikan kerisauan dihati. Kerugian yang di alami memang tidak terhitung. Harta benda hampir musnah semuanya. Tidak dapat dibayangkan kalau ia menimpa ke atas diri dan keluarga.
Semasa mendapat berita yang air semakin naik di Kota Bharu, Tanah Merah dan Pasir Mas, terbayang satu-persatu wajah sahabat-handai dan saudara mara yang tinggal di daerah berkenaan. Sebak rasa dihati memikirkan nasib mereka. Bagaimana agaknya mereka? Selamat atau tidak? Hati terus dilanda gusar apabila seorang sahabat post di fb mengatakan air semakin naik di rumahnya. Terus teringat yang dia masih dalam pantang. Suami keluar daerah atas tuntutan kerja, ibu ayah juga sudah uzur. Hanya doa dan kata-kata semangat yang mampu diberi pada saat itu. Moga semuanya selamat.
Alhamdulillah, setelah seminggu bertarung dengan pelbagai rasa, pelbagai kesukaran dengan ujian yang tidak terduga, akhirnya banjir surut jua. Namun, jiwa rakyat jelata sekali lagi tersentap melihat keadaan selepas banjir. Subhanallah, Maha Suci Allah. Kebanyakan mangsa hanya tinggal sehelai sepinggang. Pulang kerumah, rumah sudah tiada rupa. Lumpur setinggi lutut melatari suasana. Harta benda semua musnah. Ya Karim. Ujian ini terasa sungguh berat. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.
Namun, apa yang terkesan dihati saya, tentang ujian dan hidayah. Banjir yang luar biasa ini sudah cukup memilukan tapi apa yang berlaku selepas banjir lebih menyedihkan. Benarlah, sesungguhnya, hati tu Allah yang pegang. Hidayah juga datang daripadaNya.
Saya gembira, bersyukur dan terharu apabila bantuan dari segenap pelosok negara datang bertali arus memberi bantuan. Sangat, sangat, sangat banyak bantuan yang tiba. Sampaikan apabila terserempak dengan mana-mana konvoi misi bantuan banjir di jalanan, mata terasa panas, dada terasa sesak. Dalam hati mengucap syukur tidak terhingga kepada yang Maha Kuasa kerana menghadirkan insan-insan baik hati dari seluruh negara malah negara jiran, Thailand turut menghulur bantuan. Jazakumullahu khairan katira. Semoga Allah merahmati kalian semua.
Semoga peringatan daripada Allah ini tidak kita sia-siakan. Semoga iman kita semua akan bertambah selepas ujian ini. Allah bagi ujian sebab Allah sayang. Rebutlah peluang yang masih ada untuk memohon keampunan dari Yang Maha Kuasa, azamkan dalam diri untuk lebih mendekatiNya dan mencintaiNya dan rebutlah peluang untuk melayakkan diri ke syurgaNya.
Terima kasih Allah atas peringatan ini. Kau ampunilah semua dosa-dosa hambaMu yang telah banyak melakukan kerosakan dan kezaliman di atas muka bumi Mu ini. Kau limpahilah rahmatMu kepada insan-insan baik hati yang datang membantu mangsa-mangsa banjir di Kelantan dan negeri-negeri lain. Sesungguhnya, hanya Kaulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Berkuasa.Amin Ya Rabbal Alamin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan