Jumaat, 22 Ogos 2014

Malaysia Berkabung

Teks: Norafiza Abdul Aziz

Assalamualaikum wbt.

Hari ini, seluruh rakyat Malaysia berkabung sebagai menghormati ketibaan jenazah mangsa nahas MH17. Akhirnya, penantian selama lebih sebulan untuk membawa pulang jenazah mangsa ke tanah air tiba juga. Alhamdulillah. Syukur ke hadrat Ilahi. Diharapkan semoga semua urusan pengurusan semua jenazah pada hari ini dipermudahkan olehNya.

Selama mengikuti perkembangan tentang nahas MH17 ni, ada sesuatu yang masih segar dalam ingatan saya. Dalam perjalanan balik dari kerja, semasa sedang memandu saya mendengar siaran radio. Waktu itu, hampir semua siaran radio sedang memperkatakan tentang nahas ini. Mereka akan membaca ucapan-ucapan takziah dari para pendengar serta menemuramah ahli keluarga mangsa. Yang paling saya tak boleh lupa ialah ada sebuah sajak yang ditulis oleh seorang anak kepada salah seorang penumpang wanita yang turut terkorban dalam nahas tersebut. Sajak itu ditulis dalam bahasa inggeris. Antara intipati sajak tersebut adalah beliau redha dengan pemergian ibunya dan bersyukur kerana Allah menjemput arwah ibunya dalam bulan yang mulia iaitu Ramadhan. Fara Fauzana, penyampai radio yang membacakan sajak berkenaan hampir tidak dapat meneruskan pembacaan kerana sebak. Bukan setakat Fafau, saya yang mendengar ni pun hampir banjir dalam kereta kerana turut merasai kesedihan yang dialami ahli keluarga mangsa. Siapa yang tak sedih bila kehilangan orang yang kita sayang.

Namun, walau apapun yang berlaku, yang pergi sudah selesai urusannya di dunia ini. Kita yang masih diberi kesempatan untuk bernafas di muka bumi ni, perlu meneruskan perjuangan. Jangan terlalu turutkan perasaan sehingga mengabaikan tamggungjawab kita. Hidup perlu diteruskan.

Al-Fatihah.






Tiada ulasan:

Catat Ulasan