Isnin, 18 Ogos 2014

Saya dan kenderaan

Teks: Norafiza Abdul Aziz

Assalamualaikum wbt.

Saya nak cerita sikit pasal pengalaman saya dan pelbagai jenis kenderaan. Mungkin kedengaran biasa tapi pengalaman setiap orang berbeza.

Masa kecil dulu, semasa saya di sekolah rendah saya hanya berjalan kaki sahaja ke sekolah. Memandangkan sekolah saya hanya terletak tidak jauh dari sekolah. Dari darjah dua hinggalah darjah Lima. Saya berpindah ke rumah sendiri semasa darjah enam akan tetapi jarak antara rumah dan sekolah agak jauh. Hampir 4 kilometer jauhnya. Jadi perjalanan pergi dan balik dari sekolah dihantar Abah dengan keretanya.

Naik ke sekolah menengah, saya menaiki van yang menyediakan perkhidmatan menghantar dan mengambil pelajar sekolah dengan bayaran secara bulanan. Memandangkan Abah sibuk dengan kerjanya untuk menghantar dan mengambil saya dari sekolah. Saya menaiki van tersebut selama lima tahun dari tingkatan satu hingga lima. Banyak kenangan pahit manis saya lalui dengan van tersebut. Datang lambat, kena tinggal, rosak sehingga tercabut pintu dan banyak lagi. Tak rosak macam mana, memang van itu dah uzur. Tapi melalui van itu jugalah saya mengenali kampung-kampung sekitar tempat tinggal saya yang tak mungkin saya akan tahu kalau tak melalui perjalanan mengambil dan menghantar pelajar-pelajar di kawasan sekitar. Maklumlah, saya memang jarang keluar rumah kalau tak ada hal penting.

Habis SPM, saya melanjutkan pelajaran di kolej matrikulasi di Bahau, Negeri Sembilan. Waktu itu sekitar tahun 2000. 14 tahun lalu tiada perkhidmatan bas ekspres dari Kota Bharu ke Bahau. Satu-satunya kenderaan awam yang menuju ke Pantai Timur waktu itu ialah keretapi. Maka, bermulalah kembara saya menggunakan perkhidmatan keretapi antara Kota Bharu-Bahau selama setahun saya berada di sana. Yang menariknya, oleh kerana hampir 65peratus pelajar kolej berasal dari Pantai Timur untuk batch tahun 2000-2001, kami semua menaiki keretapi yang sama pada masa yang sama. Bayangkan, hampir dua gerabak dipenuhi hanya oleh pelajar kolej saya. Rasa seronok dan teruja sebab saya tak rasa keseorangan kerana ditemani sahabat-sahabat seperjuangan. Rasa macam keretapi tu kami yang punya.Rindu pulak zaman kolej dulu.

Semasa mula menjawat jawatan saya sekarang, saya dan rakan-rakan satu batch sudah diberitahu bahawa kami semua akan dihantar ke Sarawak. Posting pertama saya adalah di Limbang, Sarawak. Jadi, selesai kursus induksi selama tiga bulan kami diterbangkan ke bumi kenyalang. Kalau dulu saya carta keretapi, selepas itu saya carta kapal terbang pula. Sebanyak tiga penerbangan disediakan untuk membawa kami semua ke Sarawak. Limbang terletak bersempadan dengan Negara Brunei Darussalam. Dari Kota Bharu ke Limbang saya harus menaiki tiga penerbangan. Bermula Kota Bharu- Kuala Lumpur, Kuala Lumpur-Miri dan akhir sekali Miri-Limbang. Dari Boeing, Fokker sampailah ke Twin Otter( kapal terbang kecil yang ada kipas di kiri kanan sayapnya dan kita boleh nampak pilot kat depan) saya dah naik. Orang lain naik bas lompat, saya naik kapal terbang lompat. He he.

Hampir dua tahun kemudian saya bertukar ke Rantau Panjang. Agak malang nasib saya, tahun pertama saya di sana, Rantau Panjang di landa banjir besar dan saya terperangkap di tempat kerja bersama dua rakan lain. Ketika itu kenderaan kecil memang tak boleh sampai langsung ke tempat kerja saya. Cuba teka apa yang saya naik untuk keluar dari situ? Trak askar!! Memang satu pengalaman untuk saya dan akan saya kenang sampai bila-bila.

Dan semalam, saya mencipta sejarah baru. Buat pertama kalinya dalam hidup saya, saya naik ambulans. Jangan panik, bukan saya yang sakit. Ia hanya tuntutan tugas semata-mata. Pengalaman pertama naik ambulans, pening kerana ambulans itu kuat bergoyang. Jururawat yang turut ada bersama saya ketika itu menceritakan pengalaman beliau menaiki ambulans. Memang kita akan berasa pening kerana ambulans dipandu agak laju lebih-lebih lagi kalau ada kes kecemasan.

Begitulah pengalaman saya menaiki beberapa kenderaan yang berbeza. Tidak dinafikan, ia adalah satu kenangan manis apabila diingat kembali. Ada masa lain kali saya akan kongsi pengalaman kenderaan laut pula ye.


#keep smiling everyday,it'll brightens your day:-) :-) :-) 





Tiada ulasan:

Catat Ulasan