Rabu, 24 Disember 2014

Pray For Pantai Timur

Teks: Norafiza Abdul Aziz
Foto: Credit to Facebook Pray For Pantai Timur

Assalamualaikum wbt.

Pasti semua dah tahu kan, pasal banjir besar yang melanda negara kita terutama negeri-negeri di Pantai Timur. 

Walaupun rumah saya setakat ini Alhamdulillah tiada sebarang ancaman banjir, namun sebagai salah seorang rakyat negeri Kelantan turut berasa berdukacita. Kebimbangan turut menguasai diri.

Oleh itu, saya mohon sahabat-sahabat sekalian mendoakan agar musibah ini cepat berlalu dan kami semua diberi kekuatan dan ketabahan untuk mengharungi ujian ini.

Dan saya juga mungkin akan berhenti seketika daripada aktiviti ber'blogging' sehingga keadaan agak reda.

Terima kasih.









Sabtu, 20 Disember 2014

Kerana Allah vs Kerana Selain Allah

Teks: Norafiza Abdul Aziz

Sumber: Kuntum Khaira Ummah (Kamu Umat Terbaik)- You Are The Best
              - Manual Pengurusan Kehidupan dan Pengurusan Organisasi Berlandaskan Al-Quran
Penulis: Dr Mohd Shafie Md Amin
              - Pengasas Kaedah Al-Huffaz (Kaedah Sistematik Hafazan Al-Quran)
Foto: Ambil gambar sendiri



Assalamualaikum wbt.

Soalan cepu cemas, " Kenapa kita bekerja?"

Apa jawapan anda sekiranya anda ditanya soalan begini?

Menurut Dr. Mohd Shafie, beliau pernah membuat survey dan kebanyakannya memberi jawapan untuk mencari rezeki. Amat kurang yang menjawab mereka bekerja kerana Allah.

Zapp..terus menusuk ke jantung. Terasa weii..

Cuba lihat senario yang berlaku di sekeliling kita. Rata-rata sentiasa berkeluh kesah. Duit gaji tak pernah cukup, harga barang makin naik, GST (hehe). Itu belum dicampur dengan 'politik pejabat' lagi. Kaki kipas, talam 14 muka, komen itu ini, tak puas hati sana sini. Kenapa senario ini berlaku?

Sebab kita bekerja bukan kerana Allah.

Bila menjadi hamba duit, macam-macam perkara negatif akan singgah di minda dan di hati kita. Duit tak pernah cukup walau buat OT siang malam. Perasaan iri hati dan hasad dengki berleluasa. Gila kuasa, tamak mula merajai hati. Solat tunggang-langgang dan selalu dilewatkan. yang lebih teruk lagi, selalu gabung solat. Bukanlah gabung macam solat jamak tu. Tapi gabung contohnya sengaja melewatkan solat Zohor kemudian tunggu waktu Asar. Dah nak Maghrib baru nak solat Asar kemudian terus solat Maghrib. Atau, Maghrib tinggal lagi 5 minit baru nak solat, sekali dengan Isyak terus. Alasan, malas nak ulang-alik banyak kali ke surau. 

Saya dulu, macam nilah. Bila dah sedar, saya rasa teruk sangat. Betapa saya lalai kepada Ya Razzaq, Yang Maha Memberi Rezeki. Walhal, tanpa izin-Nya, kita kerja sampai pengsan pun tak mungkin kita akan dapat habuan setimpal. Kan?

Cuba kita tukar pendirian kita. Tukar nawaitu kita untuk bekerja kerana Allah. Apakah impak yang akan berlaku? Jom buat eksperimen.

Saya juga dalam proses tarbiah diri sebenarnya. Sebelum ni, saya banyak merungut, tak puas hati dengan semua perkara dan semua orang, 'stress' berpanjangan dan hilang keyakinan diri.

Sehinggalah suatu hari, saya mendapat hidayah dari Allah (Alhamdulillah) melalui bahan-bahan bacaan yang saya baca (itulah untungnya orang yang suka baca buku). Saya mula bergantung dan berserah hanya kepada Dia. Manusia semuanya lemah dan tidak punya apa-apa tanpa-Nya termasuklah saya. Dalam setiap perkara, dalam setiap musibah, saya hanya berpaling kepada Dia. Dan saya belajar untuk redha, belajar bersyukur dengan segala nikmat yang diberi dan sentiasa merasa cukup.

Saya cuba memperbaiki hubungan dengan Allah. Seboleh mungkin solat di awal waktu, tambah solat-solat sunat dan sentiasa membaca 'love letter' (ayat suci Al-Quran). Kadangkala terbabas juga,hehe. Tapi nama pun dalam proses tarbiah diri.

Dan Subhanallah, Alhamdulillah. Hidup menjadi lebih tenang selepas itu. Rezeki sentiasa cukup, jarang sekali kesempitan wang walau gaji tak seberapa dan jarang buat OT. Dan saya rasa diri saya sentiasa dikelilingi dengan aura positif. 

Tak percaya? Cer buat. Tapi ada syaratnya. Mestilah kena yakin dan bergantung sepenuhnya kepada Allah. Bukan pada bos! Hehe.

InshaaAllah, hidup akan lebih tenang walau badai melanda sekalipun.

" Sesiapa yang mengerjakan kebajikan, baik lelaki mahupun perempuan dalan keadaan beriman, maka pasti akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik, dan akan Kami berikan balasan dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang telah mereka kerjakan." - An-Nahl (16: 97)





Khamis, 18 Disember 2014

Cerita Sakit Gigi Dan Banjir Gelombang Kedua

Teks: Norafiza Abdul Aziz

Assalamualaikum wbt.

Cerita 1: Sakit Gigi

Saya dan sakit gigi memang tidak dapat dipisahkan. Dari kecil lagi dah menderita sakit gigi. Nak pergi klinik, takut dan fobia. Kenapa fobia? Ha, ni yang nak cerita ni.

Masa sekolah rendah dulu, sekolah saya ada klinik gigi sendiri. Setiap bulan akan ada pemeriksaan gigi setiap murid. Oleh kerana gigi saya memang rosak dari kecil, saya menjadi agak takut untuk berjumpa dengan jururawat. Setiap kali nampak kad hijau (kad pemeriksaan gigi) hati saya akan berdebar. Takutnya tak usah ceritalah. Sampai tak boleh nak tumpu pada cikgu yang mengajar. Kenapa jadi macam tu? Kenapa saya takut sangat? Sebab jururawat garang dan suka membebel. Betul, tak tipu. Dan ianya memberi kesan psikologi kapada saya sampai sekarang. 

Jadi sekarang, bila saya sakit gigi, saya lebih rela cari ubat kat farmasi daripada berjumpa doktor gigi dan jururawatnya. Dahlah kita ni sakit, ditambah pula dengan layanan yang tak mesra alam. 

Oleh itu, kalau ada jururawat atau doktor gigi yang baca tulisan saya ni, saya harap sangat, layanlah pesakit dengan mesra. Pesakit nak jumpa doktor sebab nak minta diselesaikan masalah penyakit yang dideritai, bukan minta ditambah penyakit yang ada.

Maaf, saya agak kasar. Namun itu hakikat yang saya sendiri tempuhi.

*En.Ayie selalu pujuk saya untuk dapatkan rawatan gigi, namun saya masih fobia. Mungkin tahun depan kot baru berani. Azam tahun baru ni. Terima kasih En.Ayie sayang.

Cerita 2: Banjir Lagi

Banjir gelombang kedua dah mula melanda negeri di Pantai Timur. Banjir kali ni agak besar juga. Air naik dengan cepat. Setiap jam tengok berita, penduduk yang berpindah semakin meningkat. Hujan tak berhenti sejak lima hari yang lalu. Saya sendiri hampir terperangkap ditempat kerja. Alhamdulillah, dengan pertolongan Allah, saya sempat pulang ke rumah.

Tapi, sekarang saya ambil cuti bencana. Banyak jalan yang ditutup kepada kenderaan ringan. Dan laluan saya dari rumah ke tempat kerja memang naik air.

Banjir kali ni mengingatkan saya dengan kejadian banjir tahun 2007. Masa tu saya bertugas di Rantau Panjang. Sebut Rantau Panjang memang tak hairanlah kalau jadi mangsa banjir. Tapi tahun tu memang banjir besar sangat. Saya terperangkap di tempat kerja bersama dua lagi rakan setugas. Dah nak menangis masa tu. Bekalan makanan pun terputus. Hanya kenderaan berat yang boleh lalu. Akhirnya kami diselamatkan oleh trak askar yang dikhususkan untuk membawa penduduk yang terperangkap ke tempat yang lebih selamat. Pertama kali naik trak. Trak askar pula tu. Pengalaman tu dah jadi kenangan manis dalam hidup saya.

Namun, ada yang membuatkan saya kagum dengan penduduk Rantau Panjang. Sepertimana yang kita maklum, penduduk Rantau Panjang adalah peniaga. Walaupun banjir, idea mereka tidak putus dalam mencari rezeki. Banjir di sana dah macam pesta air. Penuh dengan orang yang bermain air banjir serta penuh dengan peniaga yang menjual beraneka makanan seperti kacang, sosej, kuih-muih dan sebagainya. Malah, yang lebih mengagumkan saya, ada perkhidmatan 'lori tambang'. RM2 satu kepala. hehe. Jangan tak percaya. Orang Rantau Panjang memang unik kalau bab meniaga. Mereka boleh meniaga apa sahaja.

Walaupun begitu, saya harap musim-musim banjir ni semua yang terlibat sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga. Anak-anak kecil perlulah sentiasa dipantau. Kita tidak mahu kejadian tidak diingini berlaku. Kesihatan juga perlu dijaga. Musim banjir ni, banyak penyakit. Jadi kepada semua yang terlibat harap semoga tabah menghadapi semua musibah. Akan ada hikmah di sebalik semua kejadian. InshaaAllah.



Bandar Pasir Puteh

Masjid Beijing, Rantau Panjang

Foto: https://www.facebook.com/pages/INFO-BANJIR-KELANTAN/181842055241153

Sabtu, 13 Disember 2014

E-book "Bertanya Allah Dulu" (BAD) by Insyirah Azhar

Teks: Norafiza Abdul Aziz

Assalamualaikum wbt.

Saya mula mengetahui tentang Ebook Bertanya Allah Dulu tulisan saudari Insyirah Azhar melalui guru online saya Pn Anys Idayu Zakaria. 

Bila dapat tahu mengenai ebook terbaru Insyirah Azhar, terus saya klik ke pautan yang berkenaan untuk muat turun ebook tersebut (ebook ini setakat ini diberi percuma, Alhamdulillah). Pertama kali cuba muat turun, tak berjaya. Beberapa hari selepas itu, saya terbaca beberapa status dari rakan FB saya yang sudah berjaya muat turun ebook BAD ini. Saya mencuba sekali lagi dan akhirnya Alhamdulillah saya berjaya muat turun ebook BAD ini.

Saya terus baca selepas berjaya muat turun. Separuh bacaan, saya berhenti. Baca masa kerja,hehe. Selesaikan tugas hakiki dulu. Walaupun hanya separuh bacaan, dalam hati dah mula terdetik. Bagusnya ilham yang Allah kurniakan kepada saudari Insyirah Azhar ni. Saya terus cuba praktik walaupun tak habis baca. Saya cuba je. belum cuba, belum tahu, kan?

Kebetulan saya ada masalah kewangan sikit. Saya perlu membayar roadtax dan insurans kereta bulan ni. Jumlahnya lebih kurang RM600++. Hati sebenarnya sudah tak keruan kerana saya tiada simpanan untuk kereta melainkan bayaran untuk ansuran kereta setiap bulan.

Terus teringat #teknikbad. Saya mula berdoa, "Ya Allah, hanya padaMu tempat hambaMu ini memohon pertolongan. Berikan aku petunjukMu Ya Allah, bagaimana aku harus membayar roadtax dan insurans keretaku ini. Sesungguhnya hanya Engkaulah sebaik-baik penolong Ya Allah."

Selepas itu, saya cerita pada suami saya, En.Ayie (kami tinggal berjauhan atas faktor kerja). En.Ayie cakap, InshaaAllah dia cuba usahakan.

Tarikh tamat makin hampir. Saya hanya pasrah. Saya bagi kad bank pada Abah (saya minta tolong Abah tolong bayarkan) untuk ambil duit untuk bayar roadtax dan insurans. Dalam bank memang ada cukup-cukup je duit. Maknanya, selepas itu simpanan saya akan habis.

Namun, ternyata Allah itu Maha Mendengar. Selepas itu, suami saya telefon mengatakan dia sudah bank-in RM200 ke akaun saya. Syukur Alhamdulillah, sekurang-kurangnya akaun saya masih ada baki. Kemudian Abah balik dan cakap cuma perlu bayar RM300++ saja sebab bayar untuk setengah tahun sahaja. Dua berita baik untuk saya dalam satu masa. Hati rasa macam tak percaya. Terima Kasih Ya Allah telah tanpa pertolonganMu tak mungkin semua ini terjadi.

Kemudian, bila ada saja masa free terus saya khatamkan ebook BAD dan terus praktik.

Oh, ya. Cerita pasal roadtax tak habis kat situ je. Ada lagi sambungannya.He he.

Abah cakap prosesnya tak sempat siap sebelum tarikh tamat roadtax sedia ada. Jadi, saya terpaksa pergi kerja dengan membawa kereta yang roadtaxnya dah tamat tempoh. Sepanjang perjalanan memang akan ada roadblock samada dari polis atau polis trafik. Perjalanan ke tempat kerja saya masih lagi boleh bertenang kerana ada sehari lagi sebelum tarikh tamat. Yang membimbangkan saya adalah perjalanan balik (oleh kerana saya bekerja ikut shif, saya akan berada ditempat kerja sampai habis shif saya).

Sebelum memulakan perjalanan balik, saya dah doa awal-awal supaya perjalanan saya dipermudahkan. Ditakdirkan, hari itu saya menempuh dua sekatan jalan raya. Satu dari polis biasa dan satu lagi polis trafik.

Sekatan yang pertama, semasa saya sampai di tempat sekatan, para pegawai polis baru nak menyusun kon. Jadi sesi pemeriksaan belum bermula. Fuhh, selesai sekatan pertama. Alhamdulillah. 

Sekatan kedua, dengan polis trafik. Sekali lagi, saya bernasib baik dengan pertolongan Allah. Mereka hanya menahan kereta dan pemandu yang melakukan kesalahan trafik seperti memandu melebihi had laju dan memotong doubleline. Syukur,syukur,syukur Ya Allah.

Sebaik sahaja selesai membaca ebook BAD, saya akan praktik 'anytime and anywhere'. Saya juga turut 'invite' sahabat-sahabat kesayangan untuk turut muat turun ebook BAD ini. Saya nak kongsi dengan mereka apa yang saya dapat.

Namun, samada mereka nak muat turun, baca, khatamkan dan praktik apa yang mereka baca, itu di luar kawalan saya. Bak kata salah seorang penulis novel kesayangan saya Hlovate menerusi bukunya yang bertajuk Anthem,
"Hati tu Allah yang pegang. Sama ada untuk bersinar bergilap atau terus jadi hitam gelap."

Dan dalam hal ini juga tanpa disedari, saya turut mempraktikkan BAD. Allah dulu, Allah lagi, Allah terus.

Bagi anda yang berminat nak muat turun ebook BAD ni, ini linknya http://www.teknikbad.com/
** Saya hanya ingin berkongsi, tiada tujuan lain
** Spread the dakwah, utuhkan ukhwah, tonggak pembangunan ummah
** Credit to saudari Insyirah Azhar www.wrthrough.com



Selasa, 9 Disember 2014

Puteriku Sayang

Teks: Norafiza Abdul Aziz

Assalamualaikum wbt.

Hari ni saya nak berkongsi tentang sebuah lagu. Ahaa..mood jiwang. Tak adalah. Cuma bila saya meneliti bait-bait lirik lagu ni, amat terkesan di hati saya. 

Lagu Puteriku Sayang ni sebuah lagu nasyid nyanyian kumpulan Hijjaz. Kalau mereka yang 'sezaman' dengan saya mesti pernah dengar lagu ni. Lagu ni lebih kurang macam nasihat kepada para gadis supaya sentiasa menjaga diri, maruah dan agama. 

Jom kita sama-sama hayati lirik lagu ni. 

Aduhai Puteriku Sayang
Aduhai Puteriku Sayang
Puteriku Sayang

Lembutmu tak bererti
Kau mudah dijual beli
Kau mampu menyaingi
Lelaki dalam berbakti

Lembut bukan hiasan
Bukan jua kebanggaan
Tapi kau sayap kiri
Pada suami yang sejati

Di sebalik bersih wajahmu
Di sebalik tabir dirimu
Ada rahsia agung
Tersembunyi dalam diri
Itulah sekeping hati
Yang takut pada Ilahi
Berpegang pada janji
Mengabdikan diri

Aduhai Puteriku Sayang
Aduhai Puteriku Sayang
Puteriku Sayang

Malumu mahkota yang tidak perlukan singgahsana
Tetapi ia berkuasa menjaga diri dan nama
Tiada siapa yang akan 
Boleh merampasnya
Melainkan kau sendiri
Yang pergi menyerah diri

Ketegasanmu umpama
Benteng negara dan agama
Dari dirobohkan dan jua
Dari dibinasakannya
Wahai Puteriku Sayang
Kau bunga terpelihara
Mahligai Syurga itulah tempatnya

Aduhai Puteriku Sayang
Kau bunga kebanggaan
Aduhai Puteriku Sayang
Kau bunga idaman

Jadi, apa pendapat anda semua tentang lagu ni?


Isnin, 8 Disember 2014

Mukjizat Dhuha

Teks: Norafiza Abdul Aziz

Assalamualikum wbt.

Melalui beberapa bahan bacaan, blog-blog inspirasi, perkongsian sahabat-sahabat di fb serta nasihat daripada Mama, saya mula menunaikan solat sunat Dhuha. Solat Dhuha ni selalu dikenali ada kaitan dengan rezeki. Kalau nak dimurahkan rezeki, buatlah solat sunat Dhuha, begitulah yang selalu diperkatakan. Pada mulanya, agak konsisten juga saya lakukan solat Dhuha ni. Kemudian, bila bisikan-bisikan halus menjelma, saya menjadi agak lemah dalam mengawal diri, jadinya jarang-jarang sekali saya tunaikan solat Dhuha. Ada masa buat, tak ada masa (kononnya) maka tak terbuatlah. 

Sehinggalah saya terinpirasi kembali setelah saya membaca sebuah kompilasi cerpen islamik tulisan Hilal Asyraf. Melalui cerita-cerita dalam buku itu, saya merenung kembali dalam diri saya yang sentiasa terumbang-ambing ni. Apa yang kurang? Kenapa usaha saya tidak mendatangkan hasil? Betulkah jalan yang saya pilih? Asyik mempertikai tentang keadaan yang berlaku kadangkala akan membawa kepada sikap putus asa. Mujur Allah masih sayang. Jawapan yang saya nak, Allah jawab dengan cara yang unik. 

Kenapa Allah tak beri apa yang kita nak? Memang banyak sebabnya. Tapi yang paling utama sekali adalah, bagaimana hubungan kita dengan Allah sendiri? Adakah kita menjaga hubungan dengan-Nya? Atau kita terlalu alpa dengan dunia sehingga lupa siapa yang lebih berkuasa? Perlahan-lahan saya menginsafi diri. Saya perlu membaiki hubungan dengan Allah. Lalu, saya memasang nekad untuk mula mendekatiNya dengan lebih dekat. Salah satunya adalah dengan solat sunat Dhuha. Dan tanpa saya sangka-sangka setelah hanya beberapa hari saya melakukan solat Dhuha secara konsisten, saya mula merasai mukjizatnya. Saya kongsi beberapa peristiwa yang saya alami baru-baru ini.

Peristiwa 1
Anak sulung saya, Iman, mengidap Epilepsy. Di samping mendapat rawatan di hospital, saya dan keluarga turut membawa Iman untuk mendapat rawatan alternatif. Salah satunya adalah melalui perubatan Islam. Baru-baru ini, ibu saudara saya ada mencadangkan supaya saya membawa Iman ke Pusat Rawatan Islam Al-Ruqyah. Menurut ibu saudara saya, bekas anak muridnya yang menjadi perawat di situ. Dekat je dengan rumah saya, lebih kurang lima minit saja menaiki kereta. Menurut pengalaman lepas, kalau ke pusat rawatan Islam, mesti ramai orang dan terpaksa menunggu lama. Tapi bila memikirkan Iman, saya kuatkan semangat untuk ke sana. 
Pada hari kejadian, sebelum bertolak, seperti biasa, saya tunaikan solat Dhuha terlebih dahulu. Usai solat, saya berdoa semoga Allah memberi saya kesabaran dan semoga urusan hari itu dipermudahkan. Apabila sampai di pusat rawatan tersebut, perawat berkenaan baru sahaja selesai merawat pesakit dan pusat rawatan itu lengang, tiada langsung pesakit lain. Syukur Alhamdulillah, kami tak perlu menunggu lama dan urusan rawatan selesai setengah jam kemudian.
Walaubagaimanapun, kami harus ke sana sekali lagi untuk rawatan susulan.  Kebetulan terkena hari saya habis kerja shif malam. Saya berjanji dengan Mama untuk ke pusat rawatan sebaik sahaja saya sampai di rumah pagi itu. Sebelum bertolak balik ke rumah, saya sempat menunaikan solat Dhuha. Dan doa saya juga seperti biasa, semoga Allah mempermudahkan semua urusan. Namun, sebaik sampai di rumah, saya rasa penat dan mengantuk. Saya beritahu Mama, saya ingin berehat dahulu dan membawa Iman ke pusat rawatan pada sebelah petang. Selepas Zohor, kami pun bertolak ke pusat rawatan. Dan peristiwa yang sama berlaku seperti semasa kami ke sana pada pertama kali. Perawat berkenaan baru sahaja selesai merawat pesakit dan selepas itu terus giliran kami. Kami meminta maaf kepada perawat itu kerana datang agak lewat, namun jawapan beliau amat mengejutkan saya. Menurut beliau, sekiranya kami datang pada sebelah pagi, kami mungkin terpaksa menunggu lama kerana ramai orang yang datang untuk mendapatkan rawatan pada pagi itu. Sekali lagi saya mengucapkan syukur kepada Allah di atas pertolongan-Nya.

Peristiwa 2
Hari itu, saya bekerja sebelah pagi. Selalunya bila bekerja sebelah pagi, saya agak sibuk tambah lagi kalau hari itu adalah hari bekerja. Kebetulan hari itu ada tugas iringkawal ke klinik. Saya dan rakan-rakan memang sangat tidak suka bila ada iringkawal ke klinik. Sebabnya macam biasalah, bila ke klinik kerajaan, orang ramai dan terpaksa menunggu lama. Kebetulan pula hari itu adalah giliran saya untuk tugas iringkawal. Hati yang mula tidak keruan, saya cuba tenangkan. Saya lihat jam, saya fikir, sempat ni kalau nak solat Dhuha. Cepat-cepat saya ke bilik rehat dan tunaikan solat Dhuha. Selesai solat, saya berdoa moga Allah bagi saya kesabaran, (untuk rekod, saya memang seorang yang kurang kesabaran, hehe). Selepas itu, saya terus ke tempat saya bertugas. Sampai saja di pintu masuk, tiba-tiba 'partner' saya cakap, " Tak pe lah, Kak Fiza. Saya rasa nak jalan-jalan hari ni. Biar saya je yang IK (singkatan untuk iringkawal) hari ni." Saya terdiam seketika sebelum menjawab OK sambil tersenyum lebar. Dalam hati terdetik, agaknya berkat aku solat Dhuha tadi kot. Syukur Alhamdulillah.

Peristiwa 3
Semalam, saya bekerja sebelah malam. Macam biasa, habis kerja, sebelum bertolak balik ke rumah, saya akan solat Dhuha terlebih dahulu. Semasa sedang bersiap untuk balik, perut saya berbunyi. Alamak, lapar lah pulak. Singgah 7-e lah, cari kopi dan roti, saya membuat keputusan. Terus saja saya memandu ke 7-eleven untuk membeli kopi dan roti. Semasa sedang menunggu adik 'cashier' mengira jumlah harga, saya nampak dia kelam-kabut mencari sesuatu di kupon yang ada di sebelah kaunter. Saya tidak bertanya apa-apa, hanya memerhati. Akhirnya, dia sendiri yang menerangkan pada saya, kupon yang ada tu adalah kupon yang orang tak nak ambil. Kebetulan ada lebih, jadi dia guna untuk pelanggan lain yang datang membeli di situ. Tak semena-mena, saya dapat separuh harga untuk kopi yang saya beli tu. Alhamdulillah, rezeki saya. Masuk ke dalam kereta, saya terfikir, inilah agaknya yang dikatakan solat Dhuha adalah solat yang menarik rezeki. Dan Allah dah tunjukkan pada saya Mukjizat Dhuha itu. Syukur Alhamdulillah, terima kasih Allah.

** Tiada niat langsung untuk saya bermegah atau ingin menunjuk-nunjuk yang saya ni rajin buat solat sunat. Saya cuma ingin berkongsi cerita. Semoga kita semua memperoleh sesuatu daripada ceruta-cerita saya di atas. Kalau ada sebarang teguran, saya alu-alukan dengan tangan terbuka. Tapi, janganlah sampai mengguris hati ye. Wallahu'alam.