Memaparkan catatan dengan label Ulasan Novel. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ulasan Novel. Papar semua catatan

Selasa, 15 Julai 2014

Contengan Jalanan I- Fend

Teks: Norafiza Abdul Aziz

Assalamualaikum wbt.

Ulasan Buku : Contengan Jalanan I - Fend
Penulis : Hlovate
Terbitan : Jemari Seni Publishing

" Contengan pengalaman perjalanan mencari Tuhan" - Hlovatesays

Memaparkan kisah yang amat berat. Tentang tujuan hidup dan hakikat kematian. Semuanya bermula dari satu ayat,

" The man that decided to change on the 12th hour dies on the 11th. "

Perkara pertama yang terlintas difikiran, tentang orang tidak sempat berubah atau lebih tepat lagi, tidak sempat bertaubat.

Dalam Contengan Jalanan I - Fend, Hlovate (penulis) membawa kita mengembara bersama dua orang sepupu, Fend dan Chad jauh ke bumi Australia. Semuanya bermula dari ayat keramat, " the man that decided to change on the 12th hour dies on the 11th" yang terbit dari mulut seorang gadis yang Fend temui secara tidak sengaja bernama Lia.

Fend, seorang pelajar universiti yang baru nak menginjak ke usia dewasa. Hanya lima perkara sahaja yang penting dalam hidupnya. Kamera, kerana dia merupakan pelajar jurusan fotografi, gitar, komputer riba, telefon bimbit dan iPod. Dunianya hanya fotografi, lukisan, jamming bersama anggota bandnya merangkap kawan-kawan baiknya dan kadangkala menerima kerja-kerja 'freelancing' sebagai jurugambar. Sepupunya, Chad, sedang menyambung pelajaran di Texas atas tajaan syarikat tempat dia bekerja. Chad punya segalanya, kerjaya yang bagus dan memiliki rumah dan kereta sendiri. Namun, itu semua belum mampu memuaskan hatinya yang terasa kosong.

Rasa ingin tahu Fend dan rasa kekosongan dalam hati Chad membawa mereka ke Australia, mencari makna hidup Ramadhan tahun itu. Dan bermulalah perjalanan mencari Tuhan di bumi asing itu.

Di Australia, mereka mengambil keputusan untuk menumpang di sebuah masjid, Punchbowl Mosque yang akhirnya membawa perkenalan dengan imam masjid, Imam Zakariyya dan ayahnya Tok Abdul Qadir yang berasal dari Arab Saudi.

Di masjid itu, mereka mula mengenal Islam dengan lebih mendalam. Mula sedar bahawa Islam itu universal dan tidak mengira bangsa, keturunan, pekerjaan dan warna kulit. Islam juga bukan hanya untuk golongan Pak Arab dan ustaz ustazah . Mengamalkan ajaran Islam yang sebenar adalah wajib dalam kehidupan setiap Muslim.

Tahun itu, Fend dan Chad benar-benar merasai roh Ramadhan. Mereka mula membuka kembali Kitab Suci, belajar tafsir, belajar hadis dan sama-sama merebut peluang mengejar malam Lailatul Qadar pada sepuluh malam terakhir Ramadhan. Kembara itu sangat memberi kesan kepada mereka.

Namun, diakhir cerita ini berlaku satu tragedi. Dan sesungguhnya hanya Allah yang berkuasa menentukan segalanya.

# 1 The 11th hour adalah cerita mengenai orang yang berubah. Berubah sebelum ajal tiba. Berubah kepada jalan cari Tuhan semula. Berubah kembali ke jalan-Nya sebelum ajal menjemput.

# 2 Bagi saya, kisah ini memberi satu pengajaran yang baik untuk mereka yang masih mempunyai fikiran bahawa mati itu hanya berlaku apabila sudah tua. Berubahlah sebelum terlambat kerana kematian pasti datang tak kira masa, tempat, dan usia. Kun Faya Kun.

# 3 Sengaja saya tidak menceritakan pengakhiran cerita kerana saya sangat berharap orang ramai akan membaca buku ini kerana ia sarat dengan pengajaran yang tidak boleh di pandang ringan. Bukan untuk saham dunia tetapi lebih kepada saham akhirat.

# 4 Saya membuat ulasan buku ini kerana ia berlatarbelakangkan bulan Ramadhan, sesuailah dengan kita sekarang. Semoga bermanfaat.



Khamis, 5 Jun 2014

Novel Pilihan

Teks: Norafiza Abdul Aziz

Assalamualaikum wbt.

Ulasan Buku 
Tajuk: Versus
Penulis: Hlovate
Penerbit: Jemari Seni Publishing

 " Buat 'awak' yang mahu berubah,
   Berubahlah walaupun payah,
   Berubahlah ke arah hidup lebih indah,
   Hidup dan masa muda sekali cuma,
   Sanggup nak sia-siakan tanpa redha-Nya?"
   * HLOVATE*

Menghayati kata-kata penulis diatas, itulah yang ingin disampaikan oleh penulis melalui novel ini. Bagaimana untuk berubah berperang melawan diri sendiri. Sakitnya hanya orang yang merasainya sahaja yang tahu. Inilah yang ditonjolkan dalam 'VERSUS'.

Versus mengisahkan tentang perjalanan dua remaja, Minn Edina dan Ashraff Omar.

Kerana wasiat arwah datuknya, Minn mula berubah. Berubah perangai dan penampilan. Dari seorang gadis 'jalanan' yang kehidupannya penuh warna-warni kepada seorang gadis yang lebih menjaga batas pergaulan dan aurat.

Mengenali seorang Minn Edina sebagai mentor untuk salah satu sabjek untuk kursusnya mengubah diri seorang Ashraff Omar. Ashraff juga adalah 'budak jalanan'. Melalui perkenalan dengan Minn, Ashraff mula kembali mengenal Tuhan dan agama. Kembara menuntut ilmu di Australia menjadi titik mula untuk kehidupan Ashraff yang baru. Mengenali saudara-saudara seagama yang banyak memberi bimbingan dan tunjuk ajar menjadikan Ashraff seorang insan yang jauh lebih baik daripada sebelumnya.

Pertemuan kembali dengan Ashraff ketika pemuda itu pulang untuk cuti semesta memberi tamparan besar kapada Minn. Perubahan Ashraff yang jauh meninggalkan dirinya membuatkan Minn merasa rendah diri. Sangkanya penghijrahannya selama ini sudah cukup baik tapi rupanya masih banyak yang dia harus belajar. Merasakan dirinya tidak layak untuk berdamping dengan Ashraff, Minn nekad memutuskan hubungan. Dan dia mula belajar memperbaiki diri. Solat dijaga dan ditambah lagi yang sunat, amalan dipertingkatkan, penampilan diri juga lebih mengikut syariat yang dituntut dalam Islam.

Bumi Australia menemukan kembali dua insan yang terpisah atas takdir Yang Maha Kuasa. Salah faham akhirnya terlerai dan menyatukan kembali dua hati. Tapi kali ini ianya lebih indah kerana disertai dengan cinta  kepada-Nya.

Tentang Penulis

Hlovate penulis yang misteri. Beliau tidak pernah menonjolkan dirinya. Maklumat tentang beliau juga amat sedikit. Tetapi beliau mempunyai ribuan pengikut di blog beliau (suatu ketika dahulu ) dan di facebook (sekali-sekala dia akan muncul dengan kata-kata yang mampu memberi sumber inspirasi untuk para peminatnya). Novel-novel tulisan Hlovate rata-rata mengisahkan tentang mereka yang ingin berubah. Dari zaman 'jahiliah' akhirnya kembali ke fitrah agama Islam yang sebenarnya. Setiap tulisan beliau sangat jujur dan 'straight to the point'. Malah kadang-kadang 'makan dalam'. Tapi itulah istimewanya Hlovate. Dia memberi inspirasi kepada mereka yang ingin berubah melalui tulisannya. Dan saya adalah salah seorang daripadanya. Tapi awas, Hlovate menggunakan 40 sehingga 50 peratus Bahasa Inggeris dalam novelnya. Boleh dikatakan novel Hlovate ni separuh melayu, separuh Inggeris.

Pendapat Peribadi

Versus memberi satu 'sentimental value' untuk saya. Menerusi Versus saya mendapat suntikan semangat untuk terus belajar memperbaiki diri yang sememangnya sangat jahil dan cetek ilmu. Melalui Versus juga, saya belajar banyak perkara baru. Bukan hanya Minn dan Ashraff yang berubah malah saya sendiri turut melalui proses penghijrahan itu. Versus adalah langkah pertama saya dalam mencari diri dan lebih mengenali serta mendekati Sang Pencipta.

Syukur Ya Allah kerana Kau telah memberi ilham kepada penulis ini untuk menyampaikan dakwahnya melalui tulisan. Terima kasih kepada adinda saya Mohd Azwan Abdul Aziz yang memperkenalkan buku ini dan kekanda saya Nurazimawati Abdul Aziz, pelabur dan pemilik novel  yang penuh inspirasi ini. Semoga mereka semua mendapat 'bahagian' masing-masing daripada Allah SWT. Amin.

"...bukan mudah untuk berubah,
       dari tanpa arah ke sejadah,
            dari tepi jalanan ke sujud mengadap Tuhan...."
                    *HLOVATESAYS*