Khamis, 5 Jun 2014

Novel Pilihan

Teks: Norafiza Abdul Aziz

Assalamualaikum wbt.

Ulasan Buku 
Tajuk: Versus
Penulis: Hlovate
Penerbit: Jemari Seni Publishing

 " Buat 'awak' yang mahu berubah,
   Berubahlah walaupun payah,
   Berubahlah ke arah hidup lebih indah,
   Hidup dan masa muda sekali cuma,
   Sanggup nak sia-siakan tanpa redha-Nya?"
   * HLOVATE*

Menghayati kata-kata penulis diatas, itulah yang ingin disampaikan oleh penulis melalui novel ini. Bagaimana untuk berubah berperang melawan diri sendiri. Sakitnya hanya orang yang merasainya sahaja yang tahu. Inilah yang ditonjolkan dalam 'VERSUS'.

Versus mengisahkan tentang perjalanan dua remaja, Minn Edina dan Ashraff Omar.

Kerana wasiat arwah datuknya, Minn mula berubah. Berubah perangai dan penampilan. Dari seorang gadis 'jalanan' yang kehidupannya penuh warna-warni kepada seorang gadis yang lebih menjaga batas pergaulan dan aurat.

Mengenali seorang Minn Edina sebagai mentor untuk salah satu sabjek untuk kursusnya mengubah diri seorang Ashraff Omar. Ashraff juga adalah 'budak jalanan'. Melalui perkenalan dengan Minn, Ashraff mula kembali mengenal Tuhan dan agama. Kembara menuntut ilmu di Australia menjadi titik mula untuk kehidupan Ashraff yang baru. Mengenali saudara-saudara seagama yang banyak memberi bimbingan dan tunjuk ajar menjadikan Ashraff seorang insan yang jauh lebih baik daripada sebelumnya.

Pertemuan kembali dengan Ashraff ketika pemuda itu pulang untuk cuti semesta memberi tamparan besar kapada Minn. Perubahan Ashraff yang jauh meninggalkan dirinya membuatkan Minn merasa rendah diri. Sangkanya penghijrahannya selama ini sudah cukup baik tapi rupanya masih banyak yang dia harus belajar. Merasakan dirinya tidak layak untuk berdamping dengan Ashraff, Minn nekad memutuskan hubungan. Dan dia mula belajar memperbaiki diri. Solat dijaga dan ditambah lagi yang sunat, amalan dipertingkatkan, penampilan diri juga lebih mengikut syariat yang dituntut dalam Islam.

Bumi Australia menemukan kembali dua insan yang terpisah atas takdir Yang Maha Kuasa. Salah faham akhirnya terlerai dan menyatukan kembali dua hati. Tapi kali ini ianya lebih indah kerana disertai dengan cinta  kepada-Nya.

Tentang Penulis

Hlovate penulis yang misteri. Beliau tidak pernah menonjolkan dirinya. Maklumat tentang beliau juga amat sedikit. Tetapi beliau mempunyai ribuan pengikut di blog beliau (suatu ketika dahulu ) dan di facebook (sekali-sekala dia akan muncul dengan kata-kata yang mampu memberi sumber inspirasi untuk para peminatnya). Novel-novel tulisan Hlovate rata-rata mengisahkan tentang mereka yang ingin berubah. Dari zaman 'jahiliah' akhirnya kembali ke fitrah agama Islam yang sebenarnya. Setiap tulisan beliau sangat jujur dan 'straight to the point'. Malah kadang-kadang 'makan dalam'. Tapi itulah istimewanya Hlovate. Dia memberi inspirasi kepada mereka yang ingin berubah melalui tulisannya. Dan saya adalah salah seorang daripadanya. Tapi awas, Hlovate menggunakan 40 sehingga 50 peratus Bahasa Inggeris dalam novelnya. Boleh dikatakan novel Hlovate ni separuh melayu, separuh Inggeris.

Pendapat Peribadi

Versus memberi satu 'sentimental value' untuk saya. Menerusi Versus saya mendapat suntikan semangat untuk terus belajar memperbaiki diri yang sememangnya sangat jahil dan cetek ilmu. Melalui Versus juga, saya belajar banyak perkara baru. Bukan hanya Minn dan Ashraff yang berubah malah saya sendiri turut melalui proses penghijrahan itu. Versus adalah langkah pertama saya dalam mencari diri dan lebih mengenali serta mendekati Sang Pencipta.

Syukur Ya Allah kerana Kau telah memberi ilham kepada penulis ini untuk menyampaikan dakwahnya melalui tulisan. Terima kasih kepada adinda saya Mohd Azwan Abdul Aziz yang memperkenalkan buku ini dan kekanda saya Nurazimawati Abdul Aziz, pelabur dan pemilik novel  yang penuh inspirasi ini. Semoga mereka semua mendapat 'bahagian' masing-masing daripada Allah SWT. Amin.

"...bukan mudah untuk berubah,
       dari tanpa arah ke sejadah,
            dari tepi jalanan ke sujud mengadap Tuhan...."
                    *HLOVATESAYS*

            
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan