Teks: Norafiza Abdul Aziz
Assalamualaikum wbt.
Pernah dengar lagu Tombo Ati nyanyian Opick Tak? Kalau tak silap saya Tombo Ati ni dalam bahasa jawa. Maksudnya pengubat hati. Bagi sesiapa yang tidak mengenali Opick ni, beliau adalah penyanyi yang berasal dari Indonesia yang memperjuangkan lagu-lagu ketuhanan. Macam Maher Zain yang menggunakan muzik dan lirik lagu berunsur ketuhanan sebagai medium dakwah mereka.
Tombo Ati atau Pengubat Hati ada lima.
Pertama, membaca Al Quran dengan terjemahannya sekali. Al Quran adalah panduan hidup kita. Jadi kalau kita tidak tahu maksud ayat-ayat yang terkandung dalam Kitab Suci ini, bagaimana kita mahu memahami seterusnya mempraktikkannya dalam kehidupan seharian kita. Memahami maksud setiap ayat amat penting kerana di dalamnya terkandung pelbagai rahsia Allah untuk kita jadikan sumber rujukan.
(* InShaaAllah, sedang berusaha*)
Kedua, mendirikan solat malam atau lebih dikenali dengan solat tahajjud. Mengerjakan solat pada waktu malam adalah masa yang paling afdal untuk kita 'berdating' dengan Allah SWT. Masa inilah kita boleh mengadu, meminta dan berdoa apa saja kepada Dia Yang Maha Mendengar. Ketenangan pada waktu malam boleh mendatangkan khusyuk dalam solat kita.
(*Masih dalam usaha untuk istiqamah*)
Ketiga, berkumpul dengan orang-orang soleh. Saya rasa ramai yang tahu bagaimana kuatnya pengaruh orang-orang di sekeliling kita terhadap diri kita. Secara amnya, orang-orang yang soleh ini mempunyai aura yang sangat positif dalam diri mereka. jadi, apabila kita berada bersama-sama dengan mereka, kita juga akan mempunyai aura yang positif. Pemikiran yang positif akan membentuk kehidupan yang lebih baik. Kita akan selalu bersikap optimis dalan setiap perkara yang kita lakukan. Tapi jangan pilih kumpulan orang 'soleh' macam Ayah Pin pula. Lain pula jadinya nanti.
(*Teringin nak menyertai mana-mana kumpulan usrah tapi belum ada kesempatan dan rezeki. InShaaAllah, suatu hari nanti*)
Keempat, puasa. Sebagaimana kita sedia maklum puasa bukanlah sekadar menahan lapar dan dahaga tapi lebih kepada menahan nafsu. Dengan amalan puasa sunat yang berterusan dapat menahan nafsu kita daripada melakukan perkara-perkara maksiat. disamping dapat pahala, dapat juga memperbaiki diri untuk menjadi Muslim yang lebih baik.
(*Masih dalam peringkat mendisiplinkan diri*)
Kelima, zikir yang berpanjangan. Amalan zikir sangat digalakkan kerana kita akan sentiasa ingat pada Yang Maha Esa juga kepada nabi kita yang tercinta Nabi Muhammad SAW.
(* Lagu-lagu zikir ni selalu menemani saya masa dalam perjalanan ulang-alik antara Pasir Puteh-Ajil tapi kadang-kadang terbabas juga nyanyi lagu pop 'senyum'*)
Kelima-lima dos ubat hati ni perlu disuntik dalam diri secara istiqamah (berterusan). Barulah hati yang 'sakit' bisa sembuh. InShaaAllah.
( Teks ini ditulis dari pendapat saya sendiri. Saya mohon maaf sekiranya ada antara fakta-fakta yang tersilap dan sekiranya ada sebarang nasihat dan pandangan amat di alu-alukan. Terima kasih.)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan