Rabu, 2 Julai 2014

The Power of Zikrullah

Teks: Norafiza Abdul Aziz

Assalamualaikum wbt.

Selamat pagi semua. Alhamdulillah, hari ini sudahpun masuk hari ke 4 kita berpuasa. Syukur masih diberi peluang untuk merebut pahala yang berlipat ganda Ramadhan ini.

Kebelakangan ini, saya sering gelisah. Apa yang dibuat serasa ada saja yang tidak kena. Kadangkala hampir berputus asa. Adakah saya akan dilanda penyakit kemurungan untuk kesekian kalinya dalam hidup saya? Ya Allah, tolonglah jauhi saya dari penyakit itu lagi. 

Hati yang tidak tenang, seringkali berasa gelisah, mudah berputus asa, panas baran adalah antara tanda-tanda penyakit hati. Teringat satu tajuk dalam program Tanyalah Ustazah di tv9 baru-baru ini, Vitamin Hati. Mungkin hati saya kekurangan vitamin. Sebab itulah saya sering gundah gulana. 

Semenjak saya mula untuk berniat untuk melakukan transformasi diri, saya sudah tetapkan dalam hati bahawa saya perlu melakukan perubahan secara menyeluruh termasuklah muzik yang menjadi halwa telinga saya. Jadi, sebagai langkah pertama saya mula memuat turun lagu-lagu ketuhanan dan juga zikir-zikir dari pelbagai artis dalam dan luar negara.

Selalunya, saya akan memasang zikir-zikir ini untuk menemani saya sepanjang perjalanan pergi balik dari kerja. Perjalanan yang memakan masa lebih dua jam memang akan diisi dengan lagu-lagu zikir dan nasyid. Dan mestilah saya akan turut 'berkaraoke' dalam kereta mengikut alunan zikir dan nasyid tersebut.

Adakah anda fikir saya ingin mengatakan bahawa saya seorang yang sangat baik kerana selalu berzikir dalam kereta? Oh, tidak! Itu baru mukadimah saja. Apa yang saya ingin tekankan disini ialah tentang kekuatan zikrullah.

Baru-baru ini, 'USB connecter' kereta saya rosak. Jadi, tak ada lagi lagu-lagu zikir yang menemani perjalanan saya. Saya hanya mendengar siaran radio sahaja. Pada mulanya, saya tak rasa apa-apa. Seronok juga kadang-kadang mendengar celoteh penyampai-penyampai radio yang pelbagai ragam. Namun, lama-kelamaan saya sering rasa mengantuk semasa memandu. Dan menjadi semakin parah apabila saya akan mengantuk setiap kali dalam perjalanan. Perangai saya juga mula berubah. Saya jadi lemah dan mudah putus asa. Sedikit demi sedikit sikap negatif mula merajai diri. Saya seolah-olah hilang punca. Hilang semua kekuatan diri yang saya bina selama ini. Puas saya fikir, kenapa tiba-tiba saya jadi macam ni ? Kemana hilangnya semua sifat positif dalam diri? Saya seolah-olah hanyut dalam diri sendiri. 

Ternyata ini ujian dari Allah yang ingin menduga hambaNya. Dan Dia masih menyayangi saya. Hanya pada Dialah tempat mengadu dan bergantung. Mungkin ini petunjuk dariNya, saya tersedar dan berkata kepada diri, mungkin ini akibat dari kelalaian saya sendiri. Benarlah apabila diberitahu bahawa salah satu ubat penyakit hati adalah zikrullah. Tanpa saya sedari itulah salah satu punca kekuatan saya selama ini. Lagu-lagu zikir yang sering menemani saya itulah yang memberi ketenangan dalam diri. Subhanallah, Allahuakbar. Maha Suci Allah. Betapa saya telah lalai dari mengingatinya. Akhirnya saya tenggelam dan hampir lemas. Terima kasih Ya Allah, kerana memberi peringatan ini. Terima Ya Allah kerana masih menyayangi diri ini. Sesungguhnya ternyata kita amat kerdil disisiNya. Dan tanpa kasih sayang dan belas kasihan dariNya, siapalah kita.

Selepas ini, saya perlu mula mencari alternatif agar hati saya sentiasa mendapat vitamin yang secukupnya supaya kejadian ini tidak berulang lagi. Jaga diri, Jaga hati.

* Ini adalah catatan pengalaman saya sendiri. Jika ada kata-kata saya yang menyinggung perasaan sesiapa saya mohon maaf. Saya hanya ingin berkongsi pengalaman.

* Jom sertai jemaah ABDR melalui pendaftaran kelas-kelas yang ditawarkan di Akademi. Dapat pengalaman baru dan kawan-kawan baru.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan